Pemuda sindrom down gigih teman bapa ke PPV
Tanah Merah: Seorang pemuda sindrom down gigih menemani bapanya yang menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah, di sini, semalam.
Shahriemy Mohamad, 31, menunggu bapanya, Mohamad Said, 70, dengan sabar selain tidak berganjak daripada tempat duduknya sambil tersenyum dan melambai ke arah orang ramai yang berada di PPV berkenaan.null
Gelagatnya ramah dan mencuit hati ramai penerima vaksin dalam kalangan warga emas, sekali gus menjadi ‘penghibur’ dan mengurangkan tekanan atau rasa takut penerima vaksin di situ.
Bapanya, Mohamed berkata, seawal 7 pagi, anak istimewanya itu bersiap untuk menemaninya ke PPV berkenaan kerana sudah mengetahui daripada awal dan menawarkan diri untuk ikut sama.null
“Walaupun Shahriemy menghidap sindrom down, namun dia masih boleh bercakap dan faham setiap arahan yang diberikan. Dia tahu tentang proses vaksinasi dan kesannya yang mungkin boleh menyebabkan saya pening, jadi dia terus menawarkan diri untuk menemani saya.
“Memandangkan rumah kami tidak begitu jauh dari PPV, saya hanya menunggang motosikal dan membawanya bersama, selain turut menasihati dia sentiasa menjaga adab serta mendengar kata.
“Sebaik sampai, dia memimpin tangan saya ke tempat pendaftaran, dan kemudian duduk sahaja di tempat menunggu sehingga saya siap menerima vaksin,” katanya ketika ditemui di PPV di IKBN Tanah Merah, di sini, semalam.
Seramai lebih 500 penerima vaksin di lokasi PPV berkenaan membabitkan majoriti warga emas berusia 60 sehingga 80 tahun.

Mohamad berkata, Shahriemy yang juga anak kelima daripada enam beradik itu sering kali bertanya jika dia juga boleh menerima vaksin, seperti mengerti ‘ketakutan’ terhadap Covid-19.
“Shahriemy seorang yang sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ada masanya dia yang mengingatkan saya dan isteri, Ramlah Md Zin, 68, untuk sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga keselamatan diri.
“Walaupun pemahaman dia mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh (SPP) tidak seperti kita yang normal, sekurang-kurangnya dia patuh dengan arahan yang diberikan,” katanya.
Sumber : Metro Online