Perbincangan Majlis Raja-Raja Melayu jadi tumpuan

KUALA LUMPUR : Tumpuan seluruh negara terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, Rabu ini selepas 15 ketua parti politik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perbincangan itu adalah yang kedua berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin minggu lalu menyatakan perbincangan atas inisiatif Al-Sultan Abdullah itu berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya ketika tempoh darurat.

Sesi menghadap baginda di Istana Negara dimulakan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Pada Khamis, sesi menghadap disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula menghadap Seri Paduka pada Jumaat.

Sesi menghadap berakhir hari ini membabitkan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Sesi membabitkan presiden empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berlangsung secara maya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir, berkata perbincangan khas itu membuktikan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu amat proaktif dan prihatin terhadap apa yang melanda negara dan rakyat.

Tegas beliau, ia menterjemahkan keprihatinan dan empati baginda terhadap rakyat yang mahu melihat semua pihak berganding bahu untuk keluar dari pandemik COVID-19.

Katanya, apa sahaja yang dirumuskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu adalah berdasarkan input dan cadangan yang dikemukakan oleh ketua-ketua parti politik.

“Majlis Raja-Raja Melayu terdiri daripada pemimpin berpengalaman yang ada kebijaksanaan dan kearifan. Mereka tidak akan membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Keputusan yang dibuat akan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik, apatah lagi Seri Paduka sudah mendapat gambaran yang meluas dan mendalam.

“Baginda telah bertemu dengan 15 ketua parti politik, berbelas jam diperuntukkan untuk tujuan ini. Komitmen dan kesabaran ini menunjukkan kepemimpinan baginda yang ada sentuhan rakyat,” katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya jangkaan topik perbincangan khas itu, Jeniri berkata antara yang bakal disentuh pastinya mengenai strategi untuk keluar daripada ancaman COVID-19 dengan lebih pantas melalui program vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok.

“Saya juga fikir Majlis Raja-Raja Melayu turut membincangkan kesan pandemik terhadap ekonomi rakyat dan bagaimana untuk kerajaan dapat terus membantu mereka.

“Perbincangan juga tidak dapat mengelak daripada menyentuh berkenaan soal darurat, sama ada dilanjutkan atau perlu ditamatkan,” katanya.

Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Izani Mohd Zain, menjangkakan perbincangan esok akan melihat kewajaran darurat sama ada ditamatkan atau diteruskan.

Katanya, impak darurat sangat besar kerana ia membabitkan amalan demokrasi di negara ini apabila sidang Parlimen ditangguh dan pilihan raya tidak boleh dilaksanakan.

“Sudah tentu perbincangan esok mengambil kira suara pemimpin parti yang mewakili rakyat,” katanya.

Ditanya ada pandangan pembabitan istana menunjukkan kerajaan gagal menangani COVID-19, Mohd Izani berpendapat dalam situasi politik semasa di mana tidak ada parti yang mendominasi, Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak mengikut Perlembagaan.

“Saya nampak mungkin kerajaan perlu dibantu dan dinasihati oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya yang juga Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL). _BH ONLINE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: