Sayunya Hati Ibu. Otak Bayi Ini Terkeluar Dari Tempurung Kepala Perlukan Dana Sumbangan Orang Ramai

KATA Siti Sarah Muhamad Saharudin, beliau bersyukur kerana YANG MAHA ESA masih memberi ruang kepadanya merentas banyak pengalaman baharu dalam hidupnya.

Meskipun pada kali ini, situasi yang dihadapi agak sukar, wanita berusia 29 tahun itu berkata, beliau tetap berasakan bahawa ALLAH sangat sayang padanya.Iklan

“DIA menganugerahkan saya seorang anak syurga yang diberi nama Nur Fatima Aisyah Mohd Fadhil. Meskipun Fatima yang sudah berusia empat bulan ini tidak seperti tiga anak yang lain, saya bersyukur dengan pemberian-NYA. Tiada langsung sesalan,” katanya dengan penuh penegasan.

Beliau terus bercerita tentang kondisi sedih bayinya, namun jujur penulis katanya, jiwa ini belum dapat merasakan kepiluan yang sebenar.

Pun demikian, sebaik wanita itu menghantar beberapa foto bayinya melalui Whatsapp, penulis tersentak dan sudah tidak mampu menyeka air mata lagi.

fatima perlukan bantuan

Sukar untuk membayangkan keperitan Fatima. Dalam usia yang cukup mentah, si kecil itu dilahirkan dalam keadaan sumbing pada bibir dan lelangitnya dan disebabkan itu, beliau bergantung sepenuhnya pada tiub untuk minum susu.

Kecacatan pada muka Fatima juga telah menjejaskan mata kirinya. Lebih meruntun nurani, otak sebesar bola ping pong terkeluar daripada tempurung kepala turut menyukarkannya untuk berbaring selesa.

“Jika tersentuh sedikitpun, si kecil itu akan menangis meraung-raung menahan kesakitan,” ujarnya seperti menahan sebak.

Kata Siti Sarah, sepanjang menghamilkan Fatima, semuanya baik-baik sahaja.

fatima perlukan bantuan

“Jika dibandingkan dengan tiga anak sebelum ini, saya ada penyakit kencing manis. Namun ketika mengandungkan Fatima, semuanya sempurna. Jadi, saya tak pernah memikirkan apa-apa dan beranggapan kehamilan Fatima dipermudahkan,” ceritanya.

Namun, segala-galanya berubah apabila si kecil itu dilahirkan tepat jam 1.29 petang pada 3 Mac lalu. Perkhabaran duka yang sampai ke telinganya membuatkan Siti Sarah terdiam seribu bahasa.

Akui wanita tabah itu, untuk menjaga anak bongsunya itu tidak mudah. Banyak yang perlu diberi perhatian. Antaranya, teknik dan mendukung Fatima ada caranya tersendiri bagi mengelak terkena pada bahagian otak yang tersembul keluar.

“Fatima akan selalu menangis sebab tidak selesa, lebih-lebih lagi tidak boleh tidur telentang. Sampai sekarang saya masih belum jumpa bantal yang sesuai untuknya tidur dengan lena.

fatima perlukan bantuan

“Mata kirinya pun tidak boleh tertutup rapat semasa tidur dan terpaksa sapu krim khas bagi menutup matanya. Matanya pun sangat-sangat sensitif kerana cepat kering dan pedih,” kongsi suri rumah itu sambil memberitahu, anaknya sudah lebih sebulan berada di Hospital Kajang dan berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut termasuk pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Seperti yang dimaklumkan oleh pakar, Fatima perlu menjalani pembedahan mata, saraf, kosmetik dan proses memasukkan semula otak ke dalam tempurung kepala.

“Ketika ini, doktor ada maklumkan tarikh pembedahan mata yang dijangka dilakukan pada Ogos nanti, namun kami memohon supaya pembedahan kepala dibuat terlebih dahulu memandangkan Fatima menanggung sakit ketika mahu tidur,” rayunya bersungguh.

Isteri kepada tukang membuat air di sebuah kantin kilang hilang kata-kata sebaik ditanya mengenai kos rawatan yang perlu dipenuhi.

“Setakat ini, pihak hospital belum beritahu berapa kosnya, tetapi ramai kata, perbelanjaan untuk pembedahan agak tinggi. Tambahan, saya juga perlu menunggu keputusan MRI sama ada boleh atau tidak untuk meneruskan pembedahan pada kepalanya,” katanya.

fatima perlukan bantuan

Meskipun demikian, beritahu wanita jujur itu, mereka sekeluarga ada menerima sedikit bantuan daripada individu dan pihak tertentu yang memberi sumbangan, dorongan dan kata-kata semangat.

Sesungguhnya, keluarga itu termasuk adik Fatima yang sering meraung kesakitan pada setiap ketika perlu dibantu.

Barangkali dengan pertolongan kecil kita dapat membahagiakan dan memberi sinar kepada kehidupan mereka yang dilingkari dengan kesulitan. Mana tahu, selepas ini kita dapat mendengar hilai tawa si kecil bernama Fatima.

Sumbangan boleh dihulurkan ke akaun CIMB 7014297041 atas nama Siti Sarah Binti Muhamad Saharudin.

SUMBER : Sinar Plus

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: