Pendirian kerajaan selari dengan pandangan Agong
NIBONG TEBAL: Pendirian kerajaan selari dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin seiring amalan demokrasi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang.
“Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis mengatakan beberapa hari lalu Parlimen akan bersidang.
“Maka, bagi saya pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada masa sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan,” katanya.
Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) terdahulu bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV di Bukit Jawi Golf Resort, di sini sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, apa juga tindakan atau usaha diambil kerajaan berpegang kepada prinsip undang-undang dan Perlembagaan.
“Kita lihat beberapa tindakan diambil dalam tempoh setahun lalu, semuanya berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
Sumber : BHonline