Malaysia tak kompromi isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi pendirian tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya dalam kawasan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Malaysia turut menggesa semua pihak lebih bersederhana dalam tingkah laku mereka di kawasan perairan berkenaan.null

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, berkata gesaan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-8 yang berlangsung secara maya semalam.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut meminta semua pihak bekerjasama bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara,” kata Ismail Sabri dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam merangkap Pengerusi ADMM 2021, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Md Yussof.

Mesyuarat ADMM-Plus ke-8 itu membabitkan Menteri-Menteri Pertahanan atau wakil dari negara anggota ASEAN dan lapan negara rakan dialog Plus (Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea dan Rusia) serta Setiausaha Agung ASEAN.

Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri turut mengulas berkenaan pentingnya kerjasama antara negara untuk memerangi wabak COVID-19 dan peranan sektor pertahanan yang semakin meningkat dalam mendepani isu keselamatan manusia yang perlu ditangani secara holistik.

Ismail Sabri juga menekankan bahawa ruang siber yang bersifat dinamik memerlukan sektor pertahanan yang sentiasa berwaspada dan peka, terutamanya terhadap ancaman siber yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Kerjasama serantau dalam keselamatan siber, terutamanya melalui ASEAN adalah cara terbaik untuk menangani ancaman siber dan membina keyakinan serantau,” kata Ismail Sabri.

Mesyuarat itu diakhiri dengan Deklarasi Bandar Seri Begawan oleh ADMM-Plus bagi meraikan ulang tahun ke-15 ADMM.

Semua negara juga bersetuju supaya ADMM terus menjadi platform utama kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini dengan ASEAN sebagai peneraju utama.

Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan Ismail Sabri turut menyertai Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China pada Selasa lalu.

Katanya, mesyuarat itu bagi membincangkan kerjasama pertahanan serantau dan bertukar pandangan mengenai isu-isu pertahanan dan keselamatan yang menjadi perhatian bersama.

“Dalam mesyuarat itu, Malaysia mengulangi pendiriannya walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan navigasi, kehadiran aset ketenteraan di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan dan seterusnya menyebabkan konflik yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan, dan kestabilan serantau.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: