‘PRK, PRN perlu diadakan 60 hari lepas tamat darurat’

Peguam Syahredzan Johan berkata Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak menyatakan secara khusus tempoh pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil perlu diadakan selepas ia ditamatkan.

“Bagi kekosongan DUN pula, dan juga PRN Negeri, Ordinan Darurat tidak dinyatakan secara khusus bila ia patut diadakan selepas darurat tamat.

“Oleh itu, dalam kes PRN Sarawak, satu interpretasi adalah selepas darurat tamat maka Dewan Undangan Negeri juga terbubar, dan PRN harus diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh berakhirnya darurat,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila ditanya berkenaan PRN Sarawak dan beberapa PRK yang perlu diadakan selepas tamat tempoh darurat – sama ada ia perlu diadakan 60 hari dari tarikh tamat darurat iaitu 1 Ogos atau tarikh selepas terbubar Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Jelasnya, dalam ordinan tersebut di bawah Seksyen 12, sekiranya terdapat kekosongan di kalangan Ahli Parlimen, ia harus diisi 60 hari selepasnya tamat darurat, melainkan berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kekosongan itu tidak perlu diisi, iaitu sekiranya ia berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh parlimen terbubar dengan sendiri.

Mengulas lanjut mengenai proses tersebut, Syahredzan yang juga setiausaha politik kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata apabila tamatnya darurat, mana-mana pilihan raya mesti diadakan seperti peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Maknanya, kita kembali semula kepada apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan juga undang-undang,” katanya.

Untuk rekod, DUN Sarawak tamat penggal pada 6 Jun lalu, namun kekal berfungsi selepas itu di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Manakala, PRK Gerik di Perak, Bugaya dan Batu Sapi di Sabah ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

Darurat perlu di kawasan tertentu

Sementara itu, pakar perlembagaan Prof Shamrahayu Abd Aziz dan penganalisis politik Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat bahawa pengisytiharan darurat yang baru boleh dilakukan di kawasan-kawasan tertentu apabila tamat tempoh darurat, bagi mengelakkan PRN dan PRK diadakan.

Jelas Shamrahayu, ini memandangkan keadaan pandemik yang dihadapi negara masih tidak terkawal.

Katanya, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 150 (2), Yang di-Pertuan Agong boleh membuat demikian.

Perkara 150 (2) menyatakan Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

“Kalau nak buat macam ni, kita buat proklamasi darurat tu untuk menangani pandemik Covid-19 dan juga pada masa yang sama dalam Ordinan Darurat itu dia ada sebut tentang tidak boleh mengadakan pilihan raya.

“Tapi kalau nak tarik buat satu yang baru bagi lokaliti tertentu – macam bagi Sarawak sahaja pun boleh dan dibenarkan oleh undang-undang.

“Tujuannya adalah untuk menangguhkan pilihan raya kerana ketenteraman awam ataupun pandemik,” katanya.

Azmi yang senada dengan Shamrahayu berkata sebarang pilihan raya tidak sesuai diadakan ketika ini dan PRN Sarawak misalnya, perlu dielakkan dengan menangguhkannya.

“Kita dah belajar daripada kesengsaraan dan kesilapan dilakukan apabila benarkan PRN Sabah pada bulan September lepas kerana apa yang kita alami sekarang sedikit sebanyak daripada PRN Sabah kerana jangkitan itu menular dengan tidak dapat dikawal,” katanya.

Perlu diadakan secepat mungkin

Manakala Naib Ketua DAP Perak Aziz Bari berkata pada asasnya tujuan darurat bukanlah untuk menggantung parlimen atau pilihan raya, terutamanya apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakannya demi menangani pandemik.

“(Tujuan) Itu persepsi umum dan dakwaan Perikatan Nasional,” katanya.

Katanya apabila darurat tamat, keadaan perlu kembali seperti normal iaitu perkara yang perlu dilaksanakan harus dijalankan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Apabila diminta mengulas sama ada ia seharusnya diadakan 60 hari selepas tarikh bubar DUN atau 60 hari selepas tamat darurat, katanya jika diikutkan peruntukan sedia ada, PRN atau PRK di suatu kawasan itu perlu diadakan secepat mungkin dan buat masa ini terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan dengan cara yang paling hampir dengan kehendak peruntukan yang berkaitan.

“(Kalau) ikut peruntukan yang ada (PRN dan PRK perlu diadakan) secepat mungkin,” kata pakar perlembagaan yang juga Adun Tebing Tinggi itu.

Pengerusi Bersih Thomas Fann pula berpendapat bahawa bagi PRN Sarawak ia harus dilaksanakan secepat mungkin iaitu 60 hari selepas darurat ditamatkan tetapi PRK tidak perlu dilaksanakan buat masa ini.

“Darurat mengikut kawasan untuk tangguhkan pilihan raya memang satu kemungkinan tetapi ia mungkin merupakan pilihan terakhir apabila keadaan pandemik sedang amat teruk.

“Jika tidak kita perlu berdepan dengan ahli politik yang menggunakan isu kesihatan atau sebarang krisis untuk melengahkan atau menggantung demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya langkah terbaik adalah SPR mengemukakan kaedah selamat untuk orang ramai mengundi seperti melalui undi pos melanjutkan tempoh mengundi atau e-voting.

“Perlunya ada perubahan dalam cara ahli politik menjalankan kempen mereka ketika pandemik berlaku,” katanya.

Darurat berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan. Bagaimanapun, Raja-raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos.

Sumber : Malaysiakini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: