NGO perlu bersama kerajaan bantu rakyat Malaysia hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR – Penubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) cuba melangkaui kelaziman badan bukan kerajaan (NGO) lain di negara ini yang terhad kepada pembangunan komuniti setempat dan mengamalkan budaya kerja secara silo.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sudah sampai masanya NGO-NGO lain melakukan revolusi dan mempertingkatkan keupayaan mereka sebagai penyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Menurut Zuraida, tidak dinafikan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai pihak termasuk NGO membantu orang ramai yang terjejas dengan menyalurkan bantuan.

Bagaimanapun banyak NGO tidak menyedari kerajaan memerlukan bantuan mereka untuk melandaikan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan khususnya dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Terdapat keperluan amat mendesak untuk pertubuhan-pertubuhan dianggotai oleh masyarakat umum di Malaysia, bagi menyahut cabaran membantu negara ini dalam menghadapi situasi Covid-19 yang sedang menular.

“Apabila negara atau sesebuah negeri ditimpa musibah, NGO perlu tampil ke hadapan bagi memberi sokongan kepada pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

PKN diasaskan pada Julai 2019, terdiri daripada pelbagai persatuan dalam kalangan masyarakat dan berperanan sebagai badan induk yang menjadi tunjang kepada persatuan-persatuan sedia ada serta bertindak sebagai penyelaras dalam hal-hal berkaitan untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

Walaupun PKN dianggap satu-satunya NGO yang bernaung di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun ia tidak menghalang badan itu untuk menyelaras gerak kerja persatuan-persatuan lain untuk membantu kerajaan memulihkan semangat rakyat ketika ini.

“Dengan jumlah ribuan persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada ketika ini, sudah tentu sukar untuk menyelaraskan gerak kerja persatuan-persatuan ini, lebih-lebih lagi dari sudut pembiayaan pertubuhan dan juga bilangan ahli.

“Usaha penggabungan persatuan-persatuan ini dijalankan bagi memastikan peranan yang lebih besar dapat dimainkan oleh masyarakat di komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, Zuraida mahu PKN membantu persatuan-persatuan lain mempercepat pembangunan di setiap kawasan mereka, terutamanya dari aspek pemerkasaan ekonomi dan pembangunan sosial.

“Jika dahulu, pertubuhan-pertubuhan ini mengamalkan budaya kerja secara silo, kini mereka berupaya untuk bergabung dengan pertubuhan lain melalui PKN, bagi meningkatkan lagi impak gerak kerja mereka kepada komuniti.

“Seperti mana kita maklum, PKN bernaung di bawah KPKT, yang mana mereka mempunyai akses untuk mendapatkan bantuan bagi pembangunan komuniti mereka terus daripada pihak kerajaan,” katanya.

Zuraida turut menyifatkan penubuhan PKN tepat pada masanya sebelum kehadiran Covid-19 dan mempunyai lebih 200,000 sukarelawan yang terlatih dan komited untuk melaksanakan kerja-kerja bantuan komuniti di seluruh negara.

“Selain menjalankan khidmat kesukarelawanan melalui PKN, ahli-ahli PKN juga amat digalakkan untuk menyertai MYVac (Malaysia Vaccine Support Volunteers) bagi membantu petugas barisan hadapan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia.

“Ini merupakan satu perkembangan baik bagi NGO dan aktivis ini kerana dengan kerjasama yang erat antara kerajaan dan NGO, kita dapat bersama-sama mengharungi segala cabaran.

“Jika dahulu, pihak kerajaan dan NGO sentiasa dilihat sebagai entiti yang amat terasing antara satu sama lain, kini kedua-dua pihak dapat duduk semeja dan bersama-sama merencana masa hadapan negara yang lebih cemerlang.

Kataya lagi, PKN mengalu-alukan mana-mana pertubuhan atau orang persendirian untuk bekerjasama dalam menjalankan aktiviti di kawasan komuniti setempat.

“Saya berharap kerjasama antara kerajaan dan NGO ini tidak berakhir setelah tamatnya ancaman Covid-19 sahaja, tetapi berterusan,terutamanya dalam hal-hal lain yang berkaitan dengan masyarakat.

“Sungguhpun fokus PKN ketika ini kepada pembangunan komuniti B40 di kawasan bandar dan luar bandar, sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti dan program khidmat masyarakat PKN secara langsung dengan menghubungi wakil-wakil PKN di seluruh Malaysia,” katanya lagi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: