Apa jadi pada 5 juta vaksin dihantar EU, KJ sila beri penjelasan, kata Guan Eng

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menjelaskan apa yang berlaku terhadap lima juta dos vaksin yang dihantar Kesatuan Eropah (EU) ke negara ini 15 Jun lalu.

Ahli Parlimen Bagan berkata, kesatuan itu sudah membuat penafian mengejutkan berhubung dakwaan Khairy bahawa EU membolot vaksin sedangkan mereka mendedahkan sudah meluluskan pengeksportan lebih lima juta dos bagi membantu Malaysia mempercepatkan PICK.

“Sekiranya EU tidak membolot vaksin seperti didakwa oleh Khairy, ini menimbulkan persoalan penting tentang apa yang terjadi pada lima juta dos tersebut dan bagaimana ia diberikan dan digunakan untuk rakyat.

“Jelas bahawa kerajaan PN menyalahkan semua orang kecuali mereka sendiri terhadap PICK yang lemah, salah urus pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, kerajaan PN sangat tidak bertanggungjawab dan tidak kompeten apabila secara konsisten meneruskan naratif bahawa krisis kesihatan Covid-19, krisis ekonomi dan politik tidak ada kaitan dengan mereka.

Katanya, kegagalan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang konsisten, mempercepat kelulusan vaksin dan pelaksanaan segera PICK adalah tanggungjawab kerajaan PN sendiri.

“Namun, rakyat dan birokrasi telah dipersalahkan ke atas kegagalan dahsyat kerajaan PN.

“PN harus berani mengakui bahawa amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat biasa serta pusingan U berulang dalam pematuhan SOP PKP telah mengakibatkan jumlah tertinggi jangkitan harian dan angka kematian,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata, dasar yang berubah-ubah antara kementerian mengenai ekonomi dan perniagaan mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa “total lockdown” memberi kesan buruk kepada perniagaan.

Katanya, penjawat awam juga dijadikan kambing hitam terhadap kelulusan vaksin yang perlahan dan pelaksanaan PICK yang lembab, sedangkan pemimpin kerajaan sendiri yang gagal mendapatkan vaksin lebih awal yang seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran.

“Dan pihak yang paling baru disalahkan adalah EU yang telah menjawab berdasarkan fakta dan angka bahawa tuduhan itu tidak berasas. Sekiranya ini adalah yang terbaik yang dapat dilakukan oleh PN, maka tidak hairanlah berlakunya kehilangan keyakinan dan defisit kepercayaan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata kerajaan tidak dapat membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega lebih awal bagi mempercepat pemvaksinan penduduk berikutan bekalan vaksin Covid-19 yang diterima ketika itu tidak mencukupi.

Ini katanya, kerana pada peringkat awal dahulu, bekalan vaksin dibolot oleh negara EU termasuk Hungary, sekali gus menjejaskan kadar vaksinasi di Malaysia.

Bagaimanapun, Duta Besar EU ke Malaysia Michalis Rokas menolak dakwaan Khairy sebagai tidak berasas kerana EU pada 15 Jun, telah menghantar sejumlah 4.87 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos vaksin AstraZeneca ke Malaysia. – FREE MALAYSIA TODAY

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: