BN janji takkan sokong usul tak percaya pada PM jika parlimen dibuka

Semua ahli parlimen BN – termasuk Umno – bersetuju untuk tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya Dewan Rakyat bersidang semula, kata mereka dalam kenyataan dikeluarkan Penerangan Umno petang ini.

Menurut kenyataan itu BN berpendapat langkah membuka semula parlimen secepat mungkin adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong seperti dizahirkan pada 16 Jun lalu. 

Kenyataan itu juga menyebut BN bersetuju agar Dewan Rakyat bersidang mengikut peraturan mesyuarat sedia ada atau mengikut sebarang kesesuaian pindaan yang diperlukan.

“Kami amat mengharapkan sidang parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Agong supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” katanya.

Ia dikeluarkan dua hari selepas Biro Politik Umno memberi tempoh 14 hari untuk kerajaan memulakan langkah membuka semula parlimen.

Untuk rekod asalnya kenyataan tersebut dibuat atas nama Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob. Bagaimanapun Ibu Pejabat Umno kemudian membuat ralat dan mendakwa ia dibuat bagi pihak semua anggota parlimen BN.

Penegasan itu dilihat langkah Umno meyakinkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional membuka semula parlimen selepas ia digantung kerana pelaksanaan darurat.

Janji yang sama turut diikrarkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini.

Ia dibuat ketika kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen masih diragui beberapa pihak. Sebelum ini presiden Bersatu itu berkata parlimen akan dibuka pada Sept atau Okt ini.

Sehari kemudian selepas raja-raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara, mereka menzahirkan pandangan bahawa parlimen wajar dibuka secepat mungkin dan darurat tidak wajar dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Tiga hari lalu Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman turut menyuarakan perkara yang sama iaitu mereka serta pembangkang memberi jaminan untuk tidak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin apabila parlimen bersidang. 

Pada 27 Mei lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said turut mencadangkan agar Parlimen kembali bersidang kerana menganggap ia “satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke depan” bagi menangani Covid-19.

Bagi mengelakkan “drama yang tidak diingini” dia mencadangkan tiada usul undi tidak percaya dibawa sehinggalah pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus. 

Ahli parlimen BN berkata apabila Dewan Rakyat dibuka ahli parlimen Umno juga akan menyokong Pelan Pemulihan Negara kerajaan sebagai usaha memperkasa langkah kawalan penularan wabak Covid-19.

“Apa yang pasti keutamaan ahli-ahli parlimen Umno-BN ialah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” kata mereka.

Sumber : Malaysiakini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: