Industri kreatif ‘mati’ tanpa tindakan kerajaan

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara yang didakwa tidak memberi perhatian kepada sektor industri kreatif dikhuatiri melumpuhkan sektor berkenaan apabila penggiat seni hilang sumber pendapatan sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Khoo Kay Lye, berkata, andai keadaan itu berterusan tanpa tindakan kerajaan, dikhuatiri sektor industri kreatif ranap.

“Melalui pembentangan Pelan Pemulihan Negara, kita lihat sektor lain menerima menerima strategi peralihan keluar (daripada impak COVID-19) dengan terbuka, industri kreatif bagaimanapun terus dilanda tekanan ekonomi dan emosi yang serius.

“Semuanya akibat halangan beroperasi secara berterusan,” katanya kepada BH Online.

Kay Lye berkata, biarpun kelulusan penggambaran bersyarat dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) ketat diberi kerajaan beberapa bulan lalu, industri kreatif belum mampu menarik nafas lega.

“Malah, kita terus dihimpit dengan pelaksanaan PKP 3.0 demi melandaikan lengkok penularan COVID-19,” katanya.

Kay Lye berkata, persatuan sedar kebenaran beroperasi bagi industri kreatif diletakkan di bawah fasa ketiga iaitu mulai September atau Oktober depan.

“Namun, hakikatnya, warga industri kreatif sudah semakin tenat dengan barisan pekerja filem ‘freelance’ kehilangan mata pencarian.

“Mereka terpaksa menjual barangan peribadi demi sesuap nasi,” katanya,

Kay Lye berkata, ada penggiat seni terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

Tambahnya, banyak syarikat produksi juga terpaksa menghentikan operasi sejak PKP 1.0.

Berkongsi pengalaman sendiri, Kay Lye mengaku terhimpit kerana perlu menanggung komitmen besar setiap bulan.

“Seperti orang lain, saya menanggung komitmen tinggi setiap bulan. Saya mesti membayar gaji pekerja dan vendor yang terbabit dengan operasi syarikat.

“Secara jujur, situasi kewangan saya semakin tenat. Saya hampir hilang punca sehingga terdetik ingin menamatkan riwayat hidup.

“Saya pernah fikir, biarlah saya akhiri hidup saya daripada diasak berterusan begini. Dengan statistik kes jangkitan COVID-19 mencatat empat angka, saya fikiran industri kreatif akan mati jika tiada intervensi kerajaan.

“Saya sudah hampir berputus asa,” katanya.

Kay Lye berkata, minggu lalu, PFIM mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan cadangan bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara bagi industri kreatif.

Cadangan itu dikemukakan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Cadangan itu turut disampaikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Kay Lye berharap industri kreatif dapat diselamatkan segera.

“Industri ini semakin tenat, janganlah jadikan industri ini sebagai korban kerana hakikatnya kami sudah lama ‘mati’. Kami juga perlu diselamatkan,” katanya. – BH ONLINE

oleh Fatin Farhana Ariffin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: