KASA serius tangani isu rasuah berkaitan alam sekitar

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serius dalam menyahut seruan kerajaan untuk menghapuskan rasuah terutama berkaitan aktiviti penguatkuasaan terhadap isu alam sekitar di negara ini.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Pelan Antirasuah Organisasi KASA 2021-2025 (OACP) yang dibangunkan akan menjadi panduan penting kepada warga kerja kementerian dalam usaha membasmi rasuah, juga merangkumi aspek tadbir urus, dasar dan kewangannya.

“OACP KASA adalah dokumen yang merangkumi pelbagai inisiatif, indikator dan bingkai waktu yang tertentu. Saya optimis pelaksanaan inisiatif ini akan membaiki tahap integriti, tadbir urus dan amalan antirasuah di Malaysia.

“Insya-Allah, skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah juga akan berjaya dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Buku OACP KASA 2021 – 2025 secara maya hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (​SPRM), Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Menteri KASA, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad serta Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Matlamat utama OACP KASA 2021-2025 adalah untuk membudayakan amalan integriti dalam penyampaian perkhidmatan di KASA.

Buku OACP KASA 2021-2025 mempunyai 34 pelan tindakan merangkumi tiga bidang keutamaan iaitu Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus, dan Pengurusan Alam Sekitar dan Air serta lapan objektif dan tiga strategi dalam usaha untuk mencegah gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam KASA.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif dalam OACP KASA ini juga turut memuatkan aspek pengurusan alam sekitar dan air supaya ia menepati misi utama kementerian iaitu, ‘Memastikan Pelestarian Alam Sekitar yang Mampan’.

Katanya, OACP KASA adalah ‘living document’ yang boleh sentiasa direvisi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia relevan dan responsif terhadap perkembangan semasa.

“Penghasilan dokumen penting ini sudah mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada pelbagai pihak terutamanya SPRM, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk pegawai-pegawai daripada semua bahagian dan unit.

“Saya menyeru semua warga KASA di seluruh peringkat kementerian, jabatan dan agensi supaya memberikan kerjasama erat untuk memastikan OACP KASA berjalan dengan baik,” katanya. – BH ONLINE

oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: