Urus sisa klinikal COVID-19 secara sistematik

PELAKSANAAN sekatan pergerakan penuh sudah menghampiri tempoh sebulan. Tanda rantaian pandemik ini sudah berjaya kita putuskan masih samar-samar dan kes positif masih kekal melebihi angka 4,000 setiap hari.

Rakyat didukung kerajaan masih bersemangat kental melawan badai COVID-19. Hari demi hari, petugas tetap barisan depan kesihatan dan penguatkuasaan terus memberikan komitmen tidak berbelah bahagi.

Khidmat mereka ini di fasiliti kesihatan seluruh negara kini dibantu tenaga kerja tambahan sementara bersama barisan sukarelawan.

Namun, ada kegusaran lain dibangkitkan. Dengan bertambahnya kes positif diiringi pertambahan sejajar tenaga kerja, maka bertambah jugalah sisa klinikal perlu dilupuskan dengan selamat.

Sisa buangan klinikal ini termasuk bahan plastik pakai buang, kelengkapan perlindungan diri (PPE), sarung tangan getah, gaun isolasi, jarum suntikan dan perisai muka.

Berdasarkan statistik, kadar pembuangan sisa klinikal ini meningkat 111.94 peratus jika dibandingkan kadar dicatatkan Disember 2019.

Peningkatan signifikan dijangka selepas banyak lagi pusat pemberian vaksin (PPV) baharu dibenar beroperasi, termasuk PPV mega, PPV pandu lalu dan PPV bergerak. Tambahan hospital swasta dibenarkan merawat pesakit serta pertambahan kapasiti pusat kuarantin akan turut menyumbang pertambahan.

Lantas, perhatian serius harus diberi kepada sistem pengurusan pelupusan sisa klinikal ini dan jika gagal, ia boleh mendatangkan musibah baharu, khususnya kepada komuniti setempat.

Secara asasnya, kesan buruk seperti pencemaran tanah, air dan udara boleh menjadi akibat daripada pembuangan sisa klinikal tidak betul. Ini mudah berlaku apabila salah satu unsur semula jadi ini dicemari sisa bahan dan peralatan berbahaya.

Tambah buruk jika kit ujian calitan pesakit positif atau PPE petugas yang menguruskan pesakit atau jenazah positif tidak diasingkan serta-merta. Ia boleh mengakibatkan individu lain berisiko tinggi dijangkiti sekiranya tersentuh.

Kegagalan melupuskan sisa jarum suntikan boleh mendatangkan padah penyalahgunaan dadah.

Justeru, satu sistem logistik berbalik atau dikenali ‘reverse logistics’ harus diperhalusi. Ia merujuk sistem pengurusan menghantar semula sesuatu output atau produk dihasilkan sesuatu pembekal atau pengeluar untuk proses seterusnya selepas ia tidak lagi diperlukan.

Proses seterusnya ini termasuk proses pelupusan, guna semula atau kitar semula. Dalam konteks ini, sisa klinikal dikategorikan sebagai SW404 (bahan buangan patogenik, buangan klinikal, bahan yang dikuarantinkan) tidak boleh diguna atau dikitar semula.

Oleh itu, ia mesti dilupuskan pada waktu dan tempat yang betul, dengan kaedah bersesuaian oleh pihak sepatutnya.

Meskipun ada syarikat dipertanggungjawabkan dalam memastikan sisa ini dihantar dan dilupuskan secara berjadual, prinsip asas logistik berbalik iaitu merancang, mengurus dan mengawal selia pengurusan output sisa secara berterusan harus difahami keseluruhannya.

Semua pihak terbabit secara langsung, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan pemegang tender pelupusan sisa klinikal, harus memastikan seluruh tenaga kerja, termasuk mereka di lapangan faham kepentingan melupuskan sisa ini dengan rasa penuh tanggungjawab dan beretika.

Di kala peningkatan beban sisa klinikal tidak dapat dielakkan, risau akan ada segelintir pihak mengambil jalan mudah dan singkat.

Justeru, dalam kita masih berperang melandaikan lengkuk jangkitan pandemik, janganlah pula kita leka dan lalai dalam pengurusan sisa klinikal yang tidak kurang bahayanya.

Ini penting demi menjaga kelestarian alam persekitaran serta memastikan kesihatan komuniti yang selamat dan terjamin. – BH ONLINE

oleh Dr Mohd Hafiz Zulfakar dan Azlina Muhammad – Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: