Dua kawasan di Kota Belud dikenakan PKPD

Kuala Lumpur: Dua lokaliti di Kota Belud, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa Selasa ini hingga 12 Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu membabitkan Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini di mana sembilan kes positif direkodkan hasil daripada 48 ujian saringan yang dijalankan di Kampung Nahaba Tegudon dan 11 kes positif daripada 15 ujian saringan yang dilaksanakan di Kampung Linau.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau, Kota Belud berkuatkuasa 29 Jun sehingga 12 Julai.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes positif dan kontak rapat supaya dapat diasingkan serta menyekat pergerakan dan penularan jangkitan keluar dari lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri mengumumkan pelanjutan PKPD di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah berkuatkuasa Selasa ini sehingga 12 Julai.

“Sepanjang tempoh itu, KKM melakukan 1,693 ujian saringan dan 53 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kerajaan bersetuju menamatkan enam PKPD iaitu tiga di Sabah, dua di Sarawak dan satu di Labuan yang dijadualkan tamat esok.

“Penamatan itu membabitkan lima sub-zon Wilayah Persekutuan (WP) Labuan serta tiga di Sabah iaitu Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau dan Kampung Tanjung Kapor, Kudat.

“Dua di Sarawak pula membabitkan Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching dan 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, Tanjung Manis, Mukah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan 798 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 762 individu dikompaun manakala 24 direman serta 12 dijamin.

“Antara kesalahan adalah tiada penjarakan fizikal (172), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (119), gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (114), tidak memakai pelitup muka (108), membawa penumpang berlebihan (69) serta 216 individu membabitkan kesalahan lain-lain,” katanya. – HARIAN METRO

oleh Suraya Roslan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: