Petugas barisan hadapan hadapi ‘burnout’

Kuala Lumpur: Sebilangan besar petugas barisan hadapan menghadapi gejala tekanan melampau atau ‘burnout’ berikutan perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi ini mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Roslan N.S. et. al. (2021) ke atas 893 petugas kesihatan mengenai ‘Prevalen dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Burnout dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik Covid-19’ mendapati beberapa faktor menyebabkan tekanan.

“Dapatan kajian mendapati 53.8 peratus dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah menghadapi gejala tekanan melampau berkaitan peribadi dan 39.1 peratus pula menghadapi tekanan berkaitan pekerjaan.

“Sebanyak 17.4 peratus dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta pula menghadapi tekanan berkaitan dengan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakannya merasakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja.

“Antara faktor yang mencetus situasi ‘burnout’ dalam kalangan petugas kesihatan adalah bebanan tugas yang tinggi; ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang; pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai; rancangan kerjaya terganggu; dan kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

“Menyedari situasi yang meruncing ini, beberapa inisiatif diwujudkan oleh KKM dalam menangani gejala tekanan yang melampau, khususnya bagi kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Menurutnya, saringan kesihatan mental sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda-tanda awal tekanan, keresahan dan kemurungan.

“Bantuan Awal Psikologi (PFA) diberikan kepada mereka yang bermasalah dan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri mengikut keperluan.

“Selain itu, sesi ‘pre-deployment’ turut diberikan kepada petugas kesihatan dan sukarelawan daripada agensi lain yang dimobilisasikan ke seluruh negara untuk bertugas membantu mengendalikan pandemik Covid-19, sesi ini adalah sebagai persediaan mental sebelum melaksanakan tugas,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, petugas juga diberikan ‘Mental Health Alert Card’ apabila selesai menjalankan tugas bagi pemantauan kendiri tahap kesihatan mental mereka, bagi mengelakkan ‘burnout’.

“Petugas kesihatan yang terbabit dalam pengendalian wabak Covid-19 turut diberikan cuti tanpa rekod dengan persetujuan Ketua Jabatan.

“Selain itu sesi taklimat diberikan kepada petugas selepas selesai tugasan di lapangan; mengamalkan konsep pusingan kerja; dan menempatkan pasukan MHPSS di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya. – HARIAN METRO

oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: