Serap semua doktor kontrak ke perkhidmatan kerajaan, kata DAP

PETALING JAYA: Kerajaan mesti merangka rancangan kewangan jangka panjang untuk menyerap semua 23,000 doktor kontrak ke dalam perkhidmatan kerajaan secepat mungkin kerana mereka diperlukan untuk memerangi pandemik Covid-19 dalam jangka panjang, kata DAP.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, kerajaan seharusnya tidak memikirkan soal bangsa dan agama ketika menawarkan jawatan kepada doktor muda tersebut, seperti diminta sebuah NGO yang mendesak Kementerian Kesihatan memastikan semua pegawai perubatan Bumiputera diserap ke dalam perkhidmatan kesihatan.

“Dalam perkara ini, DAP menyokong kerisauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai cadangan kerajaan untuk menempatkan graduan baharu perubatan bagi penempatan tetap di Kementerian Kesihatan yang nampaknya mendiskriminasi golongan bukan Bumiputera.

“Bagi memenangi pertempuran melawan Covid-19, usaha keseluruhan masyarakat diperlukan dengan menggerakkan semua pekerja kesihatan terlatih tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosioekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, MMA mengkritik cadangan Putrajaya untuk memastikan pegawai perubatan baharu, terutama dalam kalangan Bumiputera, akan ditempatkan ke jawatan tetap.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata, prasangka perkauman atau agama tidak boleh mempengaruhi pemilihan pegawai atau sama ada mereka harus berkhidmat dalam jawatan tetap.

Katanya, Malaysia memerlukan individu terbaik dan cemerlang untuk berkhidmat dan bakat tidak boleh membezakan etnik, agama, kepercayaan atau jantina.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, disebabkan kerajaan Perikatan Nasional mengakui Covid-19 adalah endemik dan tidak akan hilang, walaupun selepas imuniti kelompok dicapai, negara memerlukan lebih ramai doktor, jururawat dan pekerja kesihatan terlatih.

“Tambahan dana RM4 bilion akan membolehkan semua tenaga kerja diperlukan ini diambil bekerja. Pada waktu seluruh negara perlu bersatu untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19, memperkenalkan retorik kaum dan agama yang memecahbelahkan dan toksik hanya akan membahayakan usaha menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.”

Menjawab surat sebuah NGO pada Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, jawatan tetap hanya dapat ditawarkan kepada doktor kontrak berdasarkan kekosongan sedia ada dan bukan jumlah lulusan setiap tahun.

“Dari Disember 2016 hingga Mei tahun ini, sejumlah 23,077 doktor kontrak berada dalam perkhidmatan. Daripada jumlah ini, kami menawarkan jawatan tetap kepada 789 orang.

“Kekosongan tidak dibuat mengikut jumlah lulusan graduan, yang meningkat setiap tahun.

“Kami mempunyai tiga jawatankuasa penilaian di kementerian yang memilih calon untuk jawatan kosong. Ada garis panduan khusus yang harus dipatuhi penilai,” katanya dalam surat itu. – FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: