Taska makin tertekan

Kuala Lumpur: “Selain berniaga, niat saya mengusahakan taman asuhan kanak-kanak (taska) ialah untuk beramal.

“Caranya dengan menyediakan taska yang kondusif dan selamat untuk ibu bapa supaya mereka tidak berasa bimbang meninggalkan anak semasa keluar bekerja,” kata Nor Suhada Mohd Nasan.

Nor Suhada, 34, adalah pengusaha dua taska di Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor.

Katanya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ramai ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah dan tidak boleh menghantar anak mereka ke taska.

“Atas budi bicara, saya memberikan potongan bayaran yuran 30 peratus kepada ibu bapa yang tidak menghantar anaknya ke taska walaupun saya turut berhadapan dengan masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, pengurangan pembayaran yuran taska menyebabkan hasil perniagaannya merosot.

“Oleh itu, saya terpaksa menggunakan wang simpanan yang dikhaskan untuk kegunaan kecemasan bagi membayar gaji pekerja.

“Wang simpanan semakin menyusut dan menjangkakan hanya boleh bertahan dalam masa tiga hingga empat bulan lagi,” katanya.

Jelasnya, masyarakat melihat taska sebagai perniagaan ‘buat duit’, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

“Sebelum pandemik Covid-19, purata pendapatan kasar taska saya hanya belasan ribu ringgit sebulan.

“Separuh pendapatan itu digunakan untuk membayar gaji pekerja dan sewa premis. Ia belum termasuk melunaskan komitmen lain.

“Bakinya tidak banyak namun cukup untuk menampung keperluan bulanan,” katanya.

Katanya, dia baru membeli sebuah taska di Shah Alam pada Januari lalu dan tidak menyangka pandemik Covid-19 berterusan hingga kini.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, beban kewangan sedikit berkurangan apabila menerima bantuan sekali bayar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli peralatan sanitasi bagi pembasmian kuman dan bayaran sewa premis.

“Baru-baru ini, saya ada berbincang dengan pekerja untuk berniaga menjual makanan bagi mendapatkan wang tambahan membayar gaji pekerja,” katanya.

Menurutnya, dia berharap kerajaan dapat memberi bantuan dan sokongan kepada pengusaha taska di seluruh Malaysia yang terkesan dengan pandemik.

“Ini kerana taska adalah satu daripada perkhidmatan yang penting dan perlu.

“Saya akan berusaha sedaya untuk mempertahankan perniagaan taska ini, walaupun berhadapan dengan situasi sukar,” katanya.

Jual nasi lemak tampung kos operasi

“Sudah setahun saya berniaga nasi lemak dan kuih-muih di gerai bagi menampung kos operasi taman asuhan kanak-kanak (taska).

“Saya perlukan kira-kira RM10,000 sebulan untuk membayar sewa dua premis, gaji lima pekerja dan bayaran utiliti,” katanya Norhana Kamaruddin.

Norhana, 45, ialah pengusaha Taska Sha Nana di Kota Damansara, Selangor sejak 15 tahun lalu.

Katanya, hasil jualan itu masih tidak mencukupi dan dia turut menggunakan wang simpanan bagi melunaskan komitmen bulanan.

“Wang simpanan semakin berkurangan dan menjangkakan hanya boleh bertahan hingga hujung tahun ini.

“Namun, saya tidak berputus asa dan hanya berserah kepada Allah SWT mengenai masa hadapan taska ini,” katanya.

Menurut Norhana, sebelum ini, dia memiliki dua taska dan satu pusat transit.

Namun kini, sebuah daripada taska terpaksa ditutup sementara kerana kekurangan dana bagi menampung kos operasi.

“Pandemik Covid-19 yang berterusan menyebabkan pendapatan daripada pusat pendidikan awal ini berada pada paras negatif.

“Ditambah pula hanya 10 kanak-kanak iaitu anak petugas barisan hadapan yang hadir ke taska ini setiap hari. Ia memang tidak cukup untuk menampung pelbagai kos perlu ditanggung,” katanya.

Bagaimanapun, kata Norhana, dia bersyukur walaupun dalam kepayahan tetapi perniagaannya belum menanggung sebarang hutang.

“Cuma adakalanya terlewat membayar sewa premis kerana menunggu bayaran yuran daripada ibu bapa sebagai wang pusingan.

“Dalam keadaan kesempitan ini, saya ada membuat permohonan kepada pemilik premis untuk mengurangkan kadar sewa bulanan.

“Ini salah satu usaha untuk mengurangkan bebanan komitmen bulanan,” katanya.

‘15,000 pengasuh mungkin hilang pekerjaan’

Nasib taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta di negara ini diibaratkan ‘nyawa-nyawa ikan.’

Malah, ada yang terbabit dengan perniagaan lain demi menjamin kelangsungan taska atau tadika masing-masing.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad berkata, dijangkakan lebih 50 peratus daripada kira-kira 5,000 pusat pendidikan awal berkenaan berdepan risiko gulung tikar dalam tempoh beberapa bulan akan datang jika keadaan pandemik masih tidak menunjukkan tanda reda.

“Ia bakal mengakibatkan antara 10,000 hingga 15,000 pendidik awal kanak-kanak dan pengasuh taska berkemungkinan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Menurut Anisa, bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan, ada pengusaha pusat pendidikan awal ini terbabit dalam perniagaan lain.

“Ia seperti menjual makanan, ejen pesan hantar (dropship) dan sebagainya bagi mempertahankan perniagaan.

“Walaupun hasil diperoleh tidak seberapa kerana mereka juga perlu menggaji pekerja namun ia tetap dijalankan bagi memastikan tidak terus menanggung rugi,” katanya.

Menurut Anisa, jumlah pengusaha yang terbabit dalam perniagaan sampingan itu juga tidak banyak memandangkan ramai yang terkesan akibat ketiadaan modal dan sebagainya.

“Pengusaha ini sudah tidak mampu lagi menampung kos operasi kerana pendapatan terjejas teruk berikutan premis tidak boleh beroperasi sepenuhnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan Mac tahun lalu.

“Malah, bilangan ibu bapa yang menghantar anak ke taska dan tadika berkurangan dengan drastik kerana bimbang dengan pandemik,” katanya. – HARIAN METRO

oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: