Bantuan lebih komprehensif

Kerajaan akan mengulangi langkah tahun lalu dengan memperkenalkan bantuan moratorium dan pengeluaran KWSP di bawah skim i-Lestari atau i-Sinar untuk membantu rakyat hadapi cabaran Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan mengingatkannya kepada peristiwa tahun lalu di mana pertama kali dalam sejarah kerajaan memperkenalkan bantuan seumpama itu.

“Kita adalah antara negara terawal di dunia memperkenalkan inisiatif sebegini. Pada mulanya digasak oleh suara-suara yang membangkang. Kemudiannya, ada dalam kalangan mereka yang sedar kesan positif pada rakyat dan mula menyokong program ini. Alhamdulillah mereka sedar,” katanya dalam hantaran di Facebooknya semalam.

Menurutnya, dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), ini masa tepat untuk mengembalikan inisiatif sebegini bagi membantu rakyat dan perniagaan.

“Kerajaan tidak pernah putus-putus membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikir solusi bersama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperincikan bantuan moratorium dan i-Sinar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih komprehensif di bawah Fasa (Pertama) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi semua kumpulan masyarakat, sama ada hari ini (Isnin) atau Selasa.

Pengumuman perincian bantuan itu merangkumi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.

“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama PKP 3.0) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” katanya ketika meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, semalam.

Perdana Menteri berkata, bantuan yang akan diumumkan kali ini mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak Covid-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.

Ketika ini pemberian moratorium diberikan kepada peminjam terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

Ia tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Mereka juga diberi pilihan untuk mengurangkan bayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus.

Bagi pengeluaran i-Sinar pula, mulai 8 Mac lalu, ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan mempunyai baki simpanan dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150.

Di bawah syarat baharu ini, kriteria pengurangan pendapatan tidak lagi terpakai untuk permohonan i-Sinar.

Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan. – HARIAN METRO

oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: