Belum cukup licik perdaya Bank Negara

Putrajaya: Seorang ahli perniagaan wanita bakal didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, atas kesalahan terbabit dalam aktiviti penstrukturan transaksi membabitkan wang berjumlah lebih RM230,000.

Menurut sumber, wanita itu sebelum ini pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan pendakwaan terhadap wanita berusia 50 tahun itu adalah pendakwaan pertama berhubung kes seumpama itu di negara ini.

Katanya, wanita itu disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan dan cuba mengelak daripada dikesan pihak bank yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 dalam sehari yang dilakukan pelanggan.

“Pada sekitar Januari hingga Mei 2018, suspek dipercayai sudah mengarahkan seorang individu mendepositkan wang ke dalam akaun perniagaannya dengan jumlah tidak melebihi RM50,000 secara beberapa kali pada hari sama bagi mengelak dikesan sebagai transaksi mencurigakan.

“Jumlah keseluruhan wang yang masuk ke dalam akaun perniagaan miliknya menerusi beberapa transaksi itu adalah melebihi RM230,000.

“Pihak bank yang terbabit dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (Cash Threshold Report-CTR) kepada pihak BNM kerana transaksi yang dilakukan secara berganda dalam hari yang sama adalah dibenarkan,” katanya.

Sumber berkata CTR adalah mekanisme bagi BNM memantau apa-apa transaksi tunai sama ada deposit atau pengeluaran yang dilakukan oleh mana-mana orang di bank.

Jelasnya, penstrukturan transaksi atau ‘smurfing’ adalah satu teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan.

“Perbuatan berkenaan adalah satu kesalahan dan boleh dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Tambah sumber itu, pada Disember 2018 BNM sudah meminda dan menetapkan kadar amaun CTR daripada RM 50,000 kepada RM25,000 dalam satu hari yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. – HARIAN METRO

oleh Noor Atiqah Sulaiman

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: