Mahkamah tak campur tangan dasar dadah kerajaan melainkan menyalahi undang-undang, kata hakim

PUTRAJAYA: Mahkamah tidak boleh mengetepikan sebarang dasar kerajaan berhubung ganja melainkan ia melanggar undang-undang, kata Mahkamah Persekutuan hari ini.

Hakim Mohd Zawawi Salleh berkata, pendirian kerajaan adalah untuk mengekalkan status ganja dan semua bahan berkaitan dadah seperti termaktub dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB).

“Fungsi mahkamah bukan untuk menilai kebijaksanaan dasar kerajaan melainkan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang,” katanya dalam penghakiman 30 muka surat berkaitan rayuan kes dadah baru-baru ini.

Pada 17 Feb, panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menukar hukuman mati terhadap seorang jurutera kerana kesalahan mengedar dadah kepada hukuman penjara kerana memiliki bahan itu.

Muhammad Lukman Mohamad yang dikatakan menjual minyak ganja untuk rawatan pesakit kanser terlepas daripada tali gantung berkaitan dua tuduhan mengedar dadah.

Tengku Maimun ketika menyampaikan penghakiman secara lisan ketika itu berkata, pendakwaan gagal membuktikan berat dadah terlibat, seterusnya sabitan itu tidak dapat dikekalkan.

Zawawi dan Harmindar Singh Dhaliwal turut bersidang bersama Tengku Maimun dalam prosiding itu.

Lukman, 31, dipenjara lima tahun bagi setiap tuduhan memiliki dadah yang berjalan serentak. Ini bererti dia hanya menjalani hukuman selama lima tahun dan kini sudah keluar penjara.

Lukman dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 7 Dis, 2015.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2018 mendapatinya bersalah atas tiga tuduhan mengedar 3,010mm Delta 9 Tetrahydrocannabinol (ekstrak ganja), 1,422g Delta 9 Tetrahydrocannabinol dan 279.81g ganja.

Mahkamah Rayuan tahun lalu mengekalkan hukuman mati bagi dua tuduhan pertama, tetapi tuduhan ketiga dikurangkan kepada kesalahan memiliki dadah.

Rayuan Lukman di Mahkamah Persekutuan tidak melibatkan tuduhan ketiga, selepas Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan.

Kesnya mendapat perhatian pelbagai pihak, malah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut menyuarakan perlunya menyemak semula tuduhan terhadapnya. Petisyen turut dilancarkan mendesak pembebasannya.

Ketika bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, Zawawi berkata, tiada izin diberikan kepada Lukman untuk memiliki, membuat, mengendali, memproses atau menjual dadah itu bagi tujuan perubatan.

Menurut Zawawi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 18 Feb lalu berkata, kerajaan mengekalkan pendiriannya mengenai ganja dan semua bahan berkaitan dadah seperti termaktub dalam ADB 1952.

“Beliau (Muhyiddin) berkata, bahan berkenaan jelas membawa mudarat untuk masyarakat…,” kata hakim itu, dengan menambah bahawa ganja adalah dadah yang terkawal.

Katanya, pihak berkuasa utama yang mempunyai bidang kuasa berhubung dadah cannabinoid adalah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami tidak maklum mengenai sebarang senarai doktor atau orang yang diberi izin untuk mempreskripsikan dadah cannabinoid,” katanya dengan menambah tiada kajian kukuh di Malaysia yang menunjukkan minyak ganja terbukti mengubati sebarang penyakit. – FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: