Novelis Orang Asli angkat sejarah perhambaan

KUALA LUMPUR: Tidak ramai pengarang lahir dalam komuniti Orang Asli. Malah, berdasarkan statistik semasa jumlah mereka yang menjawat jawatan profesional juga masih berkurangan.

Justeru mungkin ia menjelaskan mengapa banyak sejarah lisan Orang Asli tidak diketahui umum.

Justeru bagi novelis kelahiran Tapah, Perak, Mahat a/l China atau nama penanya Akiya, beliau menggunakan bakat yang ada untuk merakamkan sejarah lisan bangsanya dalam bentuk novel.

Mahat yang berasal daripada kaum Semai berkata, antara kisah sejarah lisan yang dikutipnya ketika membesar adalah mengenai Orang Asli yang diburu dan dijual sebagai hamba kepada pembesar Melayu di Perak pada kurun ke-18.

Mahat dalam webinar Writing His Own Culture: Akiya, A Postcolonial Indigenous Storyteller on Orang Asli Enslavement in the Malay World yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Pusat Sejarah Rakyat, berkata beliau merakamkan sejarah itu dalam dua buah novel tulisannya, novel Perang Sangkil (2012) dan Hamba (2013).

Katanya, idea untuk menulis novel mengenai tragedi berkenaan juga disebabkan beliau banyak membaca dan menyimpan bahan mengenai sistem perhambaan itu.

“Saya mengambil inisiatif untuk menulis mengenainya sebagai penghargaan kepada generasi terdahulu yang berjuang untuk kelangsungan hidup kita hari ini.

“Rasanya tidak salah untuk merakamkan perjuangan ini untuk generasi akan datang.

“Bagaimanapun, naskhah ini tidak pula menjentik kesedaran Orang Asli. Malah mereka pun tidak membacanya,” katanya.

Tegas Mahat, umumnya novel yang dikarang beliau adalah fiksyen namun ada juga sebahagiannya merakamkan fakta. Apatah lagi beliau mendapati tidak ada episod sejarah luka berkenaan didokumentasikan dalam bentuk karya sastera.

Katanya, novel Hamba adalah sekuel daripada Perang Sangkil bercerita mengenai keperitan hidup Orang Asli yang diburu oleh kelompok pemburu disebut ‘gop’ untuk dijual kepada pembesar Melayu.

Dalam sejarah, kisah perhambaan ini memang diketahui umum dan banyak dituliskan oleh orientalis. Dalam sejarah tempatan juga disebut Residen British ke Perak waktu itu JWW Birch dibunuh kerana usahanya untuk membersihkan amalan perhambaan dalam kalangan pembesar Perak ketika itu.

Namun, tindakan Birch itu dilihat melanggar adat istiadat tempatan selain melanggar Perjanjian Pangkor. Ia juga kemudiannya menyemarakkan rasa nasionalisme untuk menentang penjajahan yang berakhir dengan kematian Birch.

Mahat berkata, bagaimanapun tindakan Birch itu sendiri juga mungkin bersifat peribadi kerana terdapat juga pengisahan mengenai ramainya hamba wanita itu kemudiannya dilindungi lelaki berkenaan.

“Ketika menulis Perang Sangkil dan Hamba, latarnya pada abad-18, zaman di mana bilangan hamba dan gundik menjadi ukuran kekuatan dan kekuasaan.

“Mereka yang bergelar pembesar lupa keegoan untuk mengekalkan kedudukan mengorbankan kemanusiaan,” katanya.

Mahat berkata, beliau secara peribadi tidak tahu sebanyak mana naskhah ini sampai kepada pembaca tetapi ada juga pembaca yang bertanya kepadanya benarkah tragedi ini berlaku dalam sejarah negara. Apakah ada orang Melayu yang sanggup bertindak sedemikian?

“Bagaimanapun, dalam merakamkan sejarah ini saya turut menulis mengenai sikap Orang Asli sendiri. Mereka tidak berani berperang dan mempertahankan penempatan sendiri walaupun kerap diserang,” katanya.

Hal ini jelas dilihat dalam naratif Perang Sangkil yang memperlihatkan komuniti itu lebih suka berpindah randah untuk menyelamatkan diri berbanding bertindak melawan ketidakadilan.

Malah dalam naskhah yang sama juga, mereka lebih mementingkan untuk terus kekal hidup dalam kesederhanaan dan mengisi perut.

Mahat dalam perkongsiannya berkata, beliau setakat ini beliau sudah menghasilkan tujuh naskhah buku termasuk kumpulan cerpen dan kerap kali tulisannya mengangkat subjek yang mengusik jiwa dan pemikirannya.

Misalnya dalam kumpulan cerpen Tuntut (2000) adalah himpunan karya mengenai persoalan jati diri yang menghambat masyarakat Orang Asli seiring dengan perkembangan semasa.

“Sebenarnya saya melihat Tuntut adalah cara untuk memperkasakan identiti sebagai Orang Asli menerusi penulisan,” katanya.

Sementara itu bagi Wan Zawawi yang turut diundang sebagai panel, berkata Perang Sangkil direkodkan dalam sejarah dan ia menjelaskan mengenai orang Melayu daripada keturunan Rawa yang memburu Orang Asli untuk dijual sebagai hamba.

“Justeru penulisan Mahat ini adalah satu wacana balas kepada sejarah yang tercatat.

“Ia adalah mengenai tuntutan iaitu Orang Asli menuntut jati diri, budaya, maruah dan ilmu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Mahat tidak memilih untuk mengkhususkan sama ada etnik yang terbabit adalah Semai atau Temiar atau Semang sebaliknya beliau menuliskan secara umum dengan menggunakan istilah umum misalnya orang dalam atau orang luar.

“Selain itu beliau menulis juga istilah dalam bahasa Orang Asli misalnya istilah ‘gob’ bagi merujuk kepada orang Melayu,” katanya.

Tambahnya, karya Mahat ini menyumbang dari sudut negara bangsa atau apa yang diistilahkan sosiologis Jerman, Norbert Elias sebagai proses bertamadun.

Katanya, subteks yang boleh dibaca menerusi naskhah ini juga sebenarnya membawa kepada penegasan untuk memperkasakan identiti hak kemanusiaan termasuk harga diri, keinginan untuk membangun selain usaha mereka untuk hidup harmoni. – BH ONLINE

oleh Hafizah Iszahanid

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: