Sabah benarkan ‘dine-in’ restoran bermula esok
28 Jun 2021, Kota Kinabalu: Sabah akan membenarkan operasi ‘dine-in’ di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel bermula esok.
Keputusan ini susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa Pertama selain sebahagian prosedur operasi standard (SOP) Negeri Sabah PKP 3.0 dikekalkan, menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melalui kenyataan rasmi beliau hari ini.


Menurut Hajiji kerajaan negeri turut memberi kebenaran operasi gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan serta kedai gunting rambut.
Tambah beliau, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal adalah dibenarkan.

“Selain itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot,” katanya.
SOP Negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah. _PPI