Saya risau masa depan kita – Ku Li

KUALA LUMPUR: Parlimen mesti bersidang sebelum proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos depan. 

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ahli-ahli Parlimen juga perlu mendesak kerajaan untuk membenarkan Dewan Rakyat dan Negara dibuka dalam kadar segera. 

“Jangan tunggu sehingga Oktober baru Parlimen bersidang atau lewat daripada itu. 

“Ini bukan lagi soal kuasa untuk mengawal pandemik Covid-19 tetapi nak ‘kawal benda lain’ yang tidak bersangkut paut dengan kedudukan rakyat di negara ini. 

“Oleh itu, saya meminta agar semua pihak menandatangani petisyen yang dikemukakan sebagai tanda sokongan kepada gesaan dan sokongan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam bulan akan datang ini,” katanya semasa sesi siaran langsung di Facebooknya hari ini. 

Siaran itu berlangsung kurang 30 minit dengan lebih 30 ribu jumlah tontonan, 662 tanda suka dan 572 komen setakat berita ini ditulis. 

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian menyorot titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin. 

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun baru-baru ini mencadangkan supaya sidang Parlimen hibrid diadakan akhir Ogos atau minggu pertama September. 

Kelewatan sidang Parlimen menyebabkan kemungkinan 25 daripada 65 Ahli Dewan Negara dari parti kerajaan dan pembangkang tidak dapat bersidang secara hibrid dan bersemuka kerana tempoh perkhidmatan mereka kebanyakan berakhir pada Julai dan Ogos nanti. 

Sidang Khas Parlimen melibatkan semua wakil rakyat dijadual berlangsung pada awal Ogos hanya untuk meminda Peraturan Mesyuarat supaya Parlimen boleh diadakan secara hibrid. 

Ironinya, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, kaedah persidangan Parlimen belum diputuskan kerajaan sama ada akan berlangsung secara fizikal atau hibrid. 

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak pernah melihat keadaan seperti yang berlaku sekarang sepanjang hampir lima dekad berkecimpung dalam arena politik negara. 

Katanya, kerajaan lemah dari segi langkah-langkah untuk membendung wabak Covid-19 yang sekali gus tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. 

Malah, proklamasi darurat yang diisytiharkan sejak 12 Januari lalu gagal untuk menangani krisis kesihatan yang sudah merekodkan ratusan ribu kes ketika ini. 

“Saya risau dengan masa depan kita. Kita tidak perlukan darurat. Ini hanyalah gerakan politik. Tiada kaitan dengan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: