‘Saya tak nak vaksin duduk dalam peti sejuk beku’ – KJ

TANJONG KARANG: Setiap kerajaan negeri diingatkan mencari jalan untuk meningkatkan kapasiti penggunaan vaksin COVID-19 sehingga 90 peratus dan ke atas bermula 1 Julai ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan lebih banyak vaksin akan tiba dan dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada Julai ini.

Katanya, kerajaan juga bercadang membuka lebih banyak PPV di setiap daerah di seluruh negara pada bulan berkenaan.

“Kita tiada pilihan, vaksin tiba lebih banyak pada Julai ini. Saya tak nak vaksin itu ‘duduk’ dalam peti sejuk beku.

“Sekiranya tiada pembukaan PPV, maka kadar penggunaan vaksin akan jatuh. Oleh yang demikian, saya minta setiap negeri pastikan kadar penggunaan adalah 90 peratus ke atas.

“Manakala 10 peratus lagi kena ada ‘buffer’, bimbang jika vaksin digunakan 100 peratus dalam tempoh sehari, kita bimbang bekalan vaksin tidak mencukupi,” katanya pada sidang media selepas meninjau pembukaan PPV di Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar dan Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji.

Khairy berkata, sehingga semalam kadar penggunaan vaksin paling tinggi adalah Melaka iaitu sebanyak 94 peratus, diikuti Terengganu (92 peratus), Negeri Sembilan (92 peratus) dan negeri lain melebihi 80 peratus kecuali Selangor.

Dalam pada itu, mengulas mengenai PPV Institut Pengurusan Peladang (IPP), Khairy berkata, pembukaan itu inisiatif Ahli Parlimen Tanjong Karang untuk memudahkan penduduknya menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Sebelum ini, penduduk terpaksa pergi ke Stadium Tertutup Kuala Selangor atau Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk menerima vaksinasi mereka.

“Di atas keprihatinan beliau (Noh) untuk memendekkan jarak penerima pergi ke PPV, kita membuka satu PPV di Tanjong Karang yang dapat menampung kira-kira 1,000 sehari,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kementeriannya akan memutuskan jumlah dos suntikan vaksin COVID-19 untuk Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh terdekat, kita akan memperhalusi keperluan mereka (PIKAS) tanpa mengganggu PICK. Kita juga akan putuskan jumlah dos vaksin boleh diberikan kepada sektor perkilangan dan sektor industri lain seperti pembinaan,” katanya.

Khairy turut menolak dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendakwa Selangor tidak menerima vaksin dan tidak mempunyai bekalan mencukupi.

“Tuduhan vaksin tidak dihantar ke Selangor adalah tidak benar seperti yang disebut oleh beliau (Dr Siti Mariah). Saya sendiri tak pasti dari mana beliau dapat angka itu.

“Kita cadang nak hantar lagi banyak vaksin ke Selangor, tetapi kena tengok kapasiti mereka. Dalam pertemuan saya bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, beliau mengatakan kapasiti di Selangor pada Jun adalah 40,000 suntikan setiap hari,” katanya.

Khairy berkata, sejak semalam Selangor menerima 1,367,306 juta dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca,” katanya. -BH ONLINE

oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: