Tak boleh ‘berlembut’ dengan sektor cetus kluster baharu

SELEPAS empat minggu melalui sekatan pergerakan penuh, kes positif COVID-19 dalam negara masih melebihi angka 5,000.

Terkini semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadual tamat hari ini tidak ditamatkan.

Seperti digariskan melalui Pelan Pemulihan Negara, kita hanya boleh beralih ke fasa berikutnya jika purata kes COVID-19 berada di bawah 4,000 sehari selama tujuh hari berturut-turut.

Realitinya, banyak rungutan dizahirkan rakyat susulan langkah kerajaan melaksanakan PKP 3.0. Bukan menolak, sebaliknya kecewa dan hilang keyakinan selepas kerajaan ‘berlembut’ terhadap sektor tertentu seperti kilang, tapak pembinaan dan beberapa syarikat tidak penting yang diberi ‘lampu hijau’ untuk beroperasi.

Kerajaan perlu segera memulihkan keadaan ini, memandangkan keyakinan rakyat semakin terhakis disebabkan dasar tidak jelas dan ramai mulai resah serta bosan dengan hala tuju sekarang.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan duduk di rumah pula semakin kurang berkesan akibat kelesuan mental dan fizikal dalam kalangan orang ramai berikutan terlalu lama berada dalam pandemik.

Lanjutan terbaru ini akan meletakkan negara dalam fasa PKP berikutnya untuk dua minggu lagi.

Tidak dinafikan, sektor ekonomi amat penting dan perlu distabilkan supaya negara tidak lumpuh. Keperluan mengimbangi ekonomi dan kesihatan menjadi keutamaan.

Namun, dalam situasi sekarang, ekonomi pula menjadi penyumbang kepada peningkatan kes dan dalam masa sama kerajaan perlu melindungi sektor kesihatan yang semakin tenat.

Kluster kilang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes COVID-19. Justeru, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memastikan kepatuhan SOP, memandangkan masih ada kilang dikenal pasti ingkar.

Sebagai contoh, apabila kilang diberi kebenaran beroperasi dengan SOP ditetapkan, namun tahap pematuhannya mengecewakan. Apabila berlaku jangkitan, kilang tidak ditutup.

Jadi sekarang, jika ada kes positif COVID-19 membabitkan kilang, ia perlu diarahkan tutup dengan penguatkuasaan yang tinggi.

Selain itu, vaksinisasi juga perlu dipertingkat dengan memberi keutamaan kepada kilang yang penting.

Berkaitan isu vaksin, selain masalah orang awam tidak mendaftar dan tidak hadir pada janji temu ditetapkan, ramai masih menunggu untuk mendapat vaksin dengan penuh pengharapan dalam kadar segera.

Isu kelewatan mendapat maklum balas janji temu vaksin juga menjadi keluhan dalam kalangan yang sudah mendaftar.

Seperti diketahui, bekalan menjadi punca utama dan kerajaan sudah pun membeli vaksin daripada negara pembekal sejak tahun lalu. Kini, kita amat memerlukan bekalan dalam masa terdekat.

Sekiranya kerajaan membuat pembelian tambahan vaksin sekarang, bekalan tetap sukar dihantar dalam masa yang cepat.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua bersama kerajaan untuk melandaikan kes jangkitan harian. Bagi yang sudah mendapat suntikan vaksin, ia bukan tiket untuk ke sana sini dalam masa sekarang.

Jadi, disiplinkan diri dan teruskan duduk rumah serta ikut SOP ditetapkan.

Shafezah Abdul Wahab – Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: