Terumbu karang kita semakin tidak sihat

KEINDAHAN terumbu karang pelbagai spesies, warna dan bentuk menjadikan pesona ekosistem marin di dasar laut itu bertambah unik terutama ketika ditembusi panah cahaya matahari.

Di Malaysia mempunyai 619 spesies karang keras, selain 1,619 spesies ikan marin.

Ini menjadikan di Semenanjung sebagai kawasan biodiversiti yang penting di peringkat global.

Jumlah itu mewakili 80 peratus daripada bilangan spesies dikenal pasti di tapak setara di ‘Segitiga Karang’, yang diketahui miliki kepelbagaian karang terbesar.

Namun, menuju ke arah negara maju, Malaysia berhadapan cabaran besar dalam menguruskan ekosistem marin ini.

Perubahan iklim dunia serta kesan antropogenik memberi impak besar kepada alam sekitar termasuk kemerosotan ekosistem marin seperti berlaku kelunturan karang, peningkatan paras laut, pengasidan air laut dan sebagainya.

Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly, berkata nilai terumbu karang negara dianggarkan antara RM10.1 juta hingga RM174 juta setahun.

Ini tidak termasuk nilai sumbangan terumbu karang kepada sektor perikanan negara, ekopelancongan, perlindungan pesisiran pantai, nilai potensi farmaseutikal dan nilai estetika.

Katanya, terumbu karang Malaysia dalam keadaan sederhana baik dan purata karang keras membentuk terumbu karang adalah 37.15 peratus.

“Substrat untuk rekrut pertumbuhan karang baru bagi benih melekat adalah sangat tinggi dengan petunjuk gangguan, ancaman dan pencemaran di kawasan yang mempunyai ekosistem karang,” katanya.

Industri marin menurun

Hasil kaji selidik oleh ReefCheck Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia, pada 2020 mendapati kesihatan terumbu karang semakin menurun, ikan dan invertebrata penduduk adalah rendah, namun kesan manusia serta perubahan iklim semakin meningkat.

“Hasil kajian dan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), pada 2010, menunjukkan industri perikanan mengalami trend menurun.

Dijangka berlaku kehabisan stok perikanan pada 2048, jika tiada langkah mitigasi diambil secara aktif mulai sekarang.

“Justeru, bagi pertambahan habitat dan spesies ini, program kerjasama yang menyokong kepada obligasi negara seperti konvensyen antarabangsa diharap dapat meningkatkan kelestarian sumber stok perikanan,” katanya.

Langkah elak kemerosotan sumber

Ahmad Tarmidzi berkata, beberapa mekanisma perlu diambil untuk memperlahankan kemerosotan stok perikanan dengan memberi ruang pulih semula termasuk meningkatkan kawasan perlindungan marin daripada 10 hingga 20 peratus, merekabentuk jaringan kawasan perlindungan marin (MPA) yang mampan dan mengurangkan impak luaran terhadap eksositem marin.

Sehingga kini, ada 65 MPA di seluruh negara termasuk 42 di Semenanjung dan Labuan.

Katanya, perlu disediakan langkah adaptasi kepada impak negatif perubahan iklim, mengaplikasikan pengurusan berkesan terhadap MPA dan maklumat sumber marin supaya dasar pengurusan dicadangkan berlandas kepada fakta saintifik dan berasas.

“Justeru, ia perlu mengambil kira sokongan daripada pemegang taruh untuk memastikan dasar disaran dipatuhi.

“Program seperti pengurusan perkongsian bersama antara cadangan untuk pengurusan mampan,” katanya.

Kehilangan habitat ekosistem

Kehilangan habitat semula jadi dan eksploitasi sumber secara berlebihan menyebabkan kemerosotan sumber perikanan negara menjadi ancaman yang dikenal pasti di bawah komponen Global Biodiversity Outlook dan harus ditangani negara yang mempunyai MPA.

Kehilangan 75 peratus habitat ekosistem terumbu karang dunia sedang diancam oleh pelbagai aktiviti manusia dan impak daripada fenomena semula jadi seperti perubahan iklim.

“World of Summit 2012 melaporkan kadar kehilangan habitat marin dianggarkan 0.7 hingga dua peratus setahun ,” katanya.

Perairan Malaysia yang diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin boleh dibahagikan kepada tiga iaitu, perairan Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan; Perairan Sabah dan Perairan Sarawak.

Jabatan Perikanan adalah agensi bertanggungjawab menguruskan 42 MPA di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan menguatkuasakan Bahagian IX, Akta Perikanan 1985.

Penubuhan Taman Laut

Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin.

Ini perlu memastikan terumbu karang yang menjadi sumber ekologi dan ekonomi negara mampu terus menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem kepada berjuta-juta orang.

“Terumbu karang menyediakan pekerjaan, makanan dan perlindungan pantai. namun berlaku kerosakan pelbagai ancaman tempatan dan global,” katanya.

Terumbu karang menyediakan pekerjaan, makanan dan perlindungan pantai, antara lain kepada lebih 100 juta penduduk di Asia Tenggara.

“Walaupun diiktiraf untuk nilai ekonomi dan estetika mereka, terumbu karang sedang rosak akibat pelbagai ancaman tempatan dan global,” katanya.

Dunia kehilangan 19 peratus kawasan asal terumbu karang, 15 peratus terancam dengan kerugian antara 10 hingga 20 tahun akan datang, dan 20 peratus ancaman kerugian dalam tempoh 20 hingga 40 tahun akan datang berdasarkan Status Terumbu Karang Dunia, 2008.

Lebih 60 peratus tukun dunia berada di bawah ancaman segera dan langsung daripada satu atau lebih sumber tempatan.

Punca ancaman terumbu karang

Sebahagian besar ancaman terumbu karang berpunca daripada aktiviti manusia, perubahan guna tanah di sepanjang pesisir pantai bersebelahan terumbu karang, pembangunan pantai, memancing dan kesan fizikal.

Di Malaysia Taman Laut Malaysia, taman Sabah dan Perhutanan Sarawak ditugaskan menguruskan ancaman di kawasan terumbu karang yang dilindungi.

“Kita juga melaksanakan Tinjauan Semakan Terumbu Karang berdasarkan falsafah ‘Spesis Petunjuk”, dua kali setahun iaitu organisma marin terdapat secara meluas pada terumbu karang.

“Jabatan juga mengadaptasi metodologi standard ‘Reef Check’ untuk pemantauan terumbu karang yang membolehkan saintis dan pengurus mengesan perubahan pada terumbu karang dari masa ke masa.

“Tinjauan tukun secara tetap dan kenal pasti perubahan awal terumbu karang supaya langkah pemulihan dapat diambil, sekali gus memberi peluang pengurus menjalankan kajian lebih terperinci minimumkan kerosakan kekal.

Negara komited

Katanya, negara komited melakukan pelbagai mekanisme untuk perlindungan dan pemuliharaan.

Malaysia komited mencapai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) termasuk sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan darat dan perairan pedalaman, selain 10 peratus kawasan pesisir dan laut, dilestarikan melalui sistem perwakilan kawasan perlindungan dan langkah pemuliharaan menjelang 2025.

Selain juga ingin mencapai sasaran Hidupan di Lautan (SDG-14), iaitu menyasarkan 10 peratus kawasan persisiran dan perairan marin dipelihara sebagai MPA.

Sehingga kini, 1,510,037.3 hektar iaitu 3.27 peratus daripada keseluruhan kawasan perairan negara diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin.

“Sekiranya pengeksploitasian tidak terkawal, sumber itu berisiko menghadapi kepupusan dan seterusnya menjejaskan keseluruhan ekosistem dan sumber lain,” katanya.

Malaysia diiktiraf antara 12 negara mega biodiversiti di dunia dengan industri perikanan negara menyumbang RM14.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Dianggarkan nilai ekonomi keseluruhan dijana daripada perkhidmatan ekosistem Taman Laut sebanyak RM8.7 bilion setahun.

Habitat terumbu karang berkeluasan 4,006 kilometer persegi menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara terutama komuniti pesisiran pantai bergantung kepada sumber marin,” katanya.

Justeru, beberapa kawasan di perairan negara juga diwartakan sebagai Taman Laut seperti Pulau Lima di Johor, Pulau Besar di Melaka, Tanjung Tuan di Port Dickson serta Pulau Songsong, di Kedah. -BH ONLINE

Info:

Mengenai hidupan marin

* Keluasan habitat terumbu karang – 4,006 kilometer persegi.

* Malaysia diiktiraf antara 12 negara mega biodiversiti di dunia.

* Industri perikanan menyumbang RM14.5 bilion setahun kepada KDNK.

* Nilai ekonomi perkhidmatan ekosistem Taman Laut – RM8.7 bilion setahun.

oleh Suzalina Halid

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: