Gelandangan berharap ada pihak bantu daftar vaksin Covid-19

Kuala Terengganu: Gelandangan di negeri ini berharap ada pihak yang sudi membantu urusan pendaftaran bagi membolehkan mereka menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK).

Ketiadaan telefon pintar selain ada antara mereka daripada kalangan warga emas menyebabkan proses pendaftaran tidak dapat dilakukan menerusi Aplikasi MySejahtera dan memerlukan bantuan daripada pihak lain bagi melakukan urusan itu.

Seramai kira-kira 30 gelandangan dikenal pasti menjadikan beberapa lokasi awam di sekitar bandar ini sebagai tempat tinggal antaranya kawasan Pasar Besar Kedai Payang, Dataran Shahbandar dan Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Amran Yusof, 32, berkata, gelandangan juga manusia biasa dan memerlukan vaksin bagi mengekang penularan virus Covid-19.

“Cuma cara hidup berbeza disebabkan tidak memiliki tempat tinggal yang tetap dan gelandangan juga ada perasaan takut dengan wabak yang boleh memberi maut ini,” katanya yang berasal dari Pulau Redang. .

Dia yang hidup sebagai gelandangan selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia kira-kira sembilan tahun lalu, berharap ada pihak yang sudi membantu mereka menguruskan pendaftaran bagi membolehkan mereka menerima vaksin.

Warga emas, Osman Muda, 80, dari Kampung Kota Lama, di sini, juga menaruh harapan sama memandangkan corak kehidupan mereka yang berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Al-Muttaqim, Tengku Khairul Idham Che Ku Abu Bakar berkata, pihaknya menyedari kesulitan dialami golongan berkenaan untuk melakukan urusan pendaftaran.

Beliau berkata, pihaknya tidak ada kuasa untuk urusan pendaftaran vaksin dan akan memanjangkan perkara itu kepada pihak yang berkaitan bagi membolehkan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kita sentiasa mengingatkan mereka supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan diri bagi mengelak terkena jangkitan penyakit khususnya Covid-19,” katanya selepas menyantuni gelandangan menerusi Program Jiwa Murni di kawasan Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, malam tadi.

Program anjuran Masjid Al-Muttaqim, Kepong, di sini, itu turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan, Briged Keselamatan Negeri Terengganu.

Selain sumbangan barangan keperluan dan makanan, pihaknya juga mengagihkan pelitup muka kepada golongan terbabit. – HARIAN METRO

oleh Zaid Salim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: