Pemulih inisiatif menyeluruh, saling melengkapi

Kuala Lumpur: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, adalah inisiatif menyeluruh dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ia mencakupi semua kelompok rakyat daripada miskin tegar kepada T20.

Beliau berkata, kerajaan melihat kepada kesukaran rakyat pada ketika ini yang ramai terjejas pendapatan dan kehilangan pekerjaan.

“Jadi dalam mengurangkan beban rakyat, maka antara langkah diambil memperkenalkan penangguhan pembayaran pinjaman, menangani isu kenaikan harga minyak masak serta memberikan diskaun bayaran bil elektrik.

“Tiga perkara ini amat penting dalam konteks mengangkat beban rakyat.

“Kerajaan sudah mengangkat beban utama yang ditanggung rakyat ketika ini dalam berhadapan dengan kesan dan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan memberikan moratorium selama enam bulan melalui kerjasama pihak bank kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro tanpa sebarang syarat dan tanpa sebarang dokumentasi yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, apabila rakyat diberikan moratorium selama enam bulan dalam Pemulih, maka ada beberapa situasi di situ.

Situasi pertama, katanya, iaitu untuk rakyat yang amat terjejas pendapatan mereka pada ketika ini dan mempunyai tunai di tangan yang amat terhad.

“Ini kerajaan melalui Pemulih membantu dengan inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) untuk menyalurkan bantuan tunai untuk bulan mendatang yang ditetapkan sehingga Disember tahun ini supaya rakyat sekurang-kurangnya dapat membeli barang keperluan asas dan makanan.

“Berlaku aliran tunai melalui pembelian barangan keperluan harian dan makanan kepada perniagaan. Ia juga secara tidak langsung membantu peniaga yang terkesan pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi situasi yang mana moratorium diberikan kepada mereka yang masih mempunyai pendapatan tetap.

Menurutnya, melalui lebihan duit itu dapat memberikan ruang kepada kumpulan ini membantu dari segi kewangan atau membeli barang keperluan harian sanak-saudara dan rakan mereka yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan .

Katanya, lebihan wang itu juga akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi negara melalui pembelian barang yang bermanfaat dan berguna kepada mereka untuk kehidupan seharian.

“Namun perlu elakkan pembelian barang yang tidak bermanfaat atau membazir. Satu lagi situasi yang mana moratorium diberikan kepada mereka yang masih mempunyai pendapatan tetap ini juga boleh dibuat wang simpanan untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Apa pun, akhirnya perlu buat persediaan untuk meneruskan bayaran semula pinjaman selepas berakhirnya tempoh moratorium dan tempoh penangguhan pinjaman lain yang dinyatakan dalam Pemulih,” katanya. – HARIAN METRO

oleh Amir Abd Hamid

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: