Sasaran baharu ekonomi negara diketahui Ogos ini

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan disemak semula berdasarkan kepada lanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan diperoleh selepas laporan suku kedua dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 13 Ogos ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata unjuran KDNK Malaysia akan mengambil teliti elemen pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesannya kepada ekonomi.

Beliau berkata, apabila sesuatu keputusan PKP itu diambil, ia turut akan mengakibatkan risiko kehilangan pendapatan aktiviti ekonomi secara harian.

Katanya, jika PKP dilaksanakan dalam tempoh waktu yang lebih lama, kehilangan pendapatan negara akan menjadi lebih tinggi.

“Ini adalah risiko yang perlu diambil kerajaan demi kesihatan rakyat. Jika PKP dilaksanakan dan tiada aktiviti ekonomi dibenarkan, Malaysia akan kehilangan sekitar RM3.2 bilion sehari.

“Namun, apa yang berlaku ketika ini, kerajaan tidak menyekat keseluruhan ekonomi. Hanya beberapa sektor tidak dibenarkan beroperasi manakala selebihnya boleh beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ia menjadikan nilai kerugian ini mengecil dan membolehkan Malaysia mencatat KDNK yang lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat KDNK mengikut negeri bagi 2020 secara maya, hari ini.

Mohd Uzir berkata, laporan KDNK suku kedua akan memberikan indikator yang lebih jelas mengenai unjuran dan corak pertumbuhan serta impak pelaksanaan PKP.

Katanya, walaupun pelaksanaan PKP dijangka berterusan, keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan pemulihan ekonomi serta perniagaan dapat dilaksanakan menerusi pembukaan lebih banyak aktiviti perniagaan.

Berdasarkan Indeks Pelopor pada April 202, katanya, prestasi ekonomi Malaysia dijangka menggalakkan sekiranya pandemik mereda, sejajar dengan pengukuhan permintaan global apabila kelonggaran ekonomi dilaksanakan oleh beberapa negara.

“Di samping itu, penyertaan rakyat dalam Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK) juga dijangka meningkatkan keyakinan perniagaan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam negara di samping menarik minat pelabur asing,” katanya.

Mengulas mengenai KDNK negeri pada tahun lalu, Mohd Uzir berkata, prestasi ekonomi bagi semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan mencatatkan pertumbuhan negatif.

Namun, beliau berkata, lapan negeri merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding penyusutan 5.6 peratus peringkat nasional.

“Lapan negeri memperoleh magnitud pertumbuhan yang lebih baik berbanding penguncupan 5.6 peratus yang dicatatkan di peringkat nasional iaitu Labuan (-0.5 peratus), Kelantan (-1.1 peratus), Kedah (-1.7 peratus), Pulau Pinang (-2.1 peratus), Perak (-2.3 peratus), Negeri Sembilan (-3.6 peratus), Johor (-4.6 peratus) dan Selangor (-5.3 peratus).

“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah pula masih kekal sebagai penyumbang utama KDNK nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus.

“Dari sudut pertumbuhan, kesemua 13 negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020,” katanya.

Mohd Uzir berkata, secara umumnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2020 adalah yang kedua terendah selepas krisis kewangan 1998.

KDNK negara pada 2020, katanya, merosot 5.6 peratus berbanding 4.4 peratus pada tahun sebelumnya, di mana semua aktiviti ekonomi merekodkan pertumbuhan negatif.

Katanya, KDNK merekodkan nilai pengurangan sebanyak RM80.4 bilion berbanding 2019 – BH ONLINE

oleh Alzahrin Alias

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: