Arab Saudi perkenal Bahasa Mandarin sebagai subjek elektif
Riyadh: Kementerian Pendidikan Arab Saudi merancang untuk memperkenalkan Bahasa Mandarin sebagai subjek elektif di lapan sekolah menengah di negara itu, tahun depan, lapor media tempatan.
Menerusi program berkenaan, empat sekolah di Riyadh, masing-masing dua di Jeddah dan wilayah utara, termasuk dua sekolah perempuan, pada fasa pertama.
Bahasa Mandarin kali pertama diperkenalkan di Arab Saudi ketika Putera Mahkota Arab Saudi melawat Beijing pada Februari 2019 yang menjadi sebahagian perjanjian antara dua negara untuk mengukuhkan hubungan kedua negara.
Selain itu, beberapa inisiatif lain akan dilancarkan bersama agensi pendidikan lain dan sektor latihan bagi memperkenalkan bahasa berkenaan kepada umum.
Satu daripada inisiatif terbesar adalah kolaborasi pembukaan Universiti Terbuka Arab dan Pusat Pendidikan Nabegh untuk mengajar 3,500 guru dan pekerja dalam sektor pendidikan di 12 bandar utama seluruh negara. – HARIAN METRO