Lebih 6,000 kes Covid-19 semalam, berapa kali PKP mahu gagal? soal Najib
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak mempersoalkan keberkesanan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan hampir sebulan memandangkan jumlah jangkitan harian kembali melepasi 6,000 kes semalam.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 pagi ini meningkat kepada 1.04 berbanding paras neutral 1.0 beberapa hari lalu.
“Adakah ‘total lockdown’ yang sudah sebulan lamanya turut gagal? Kadar di atas paras neutral 1.0 bermakna kes baharu dalam trend meningkat dengan pesat…kes baharu juga naik semula ke paras 6,000 kes semalam.
“Kadar positif (kes positif berbanding jumlah saringan) semalam terus naik ke paras tertinggi Jun pada 9.46%,” katanya dalam catatan di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, petunjuk utama iaitu kes baharu, kadar kebolehjangkitan dan kadar positif dalam trend menurun supaya negara boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga dilihat samar.
“Adakah kerajaan sedar ketiga-tiga petunjuk utama, iaitu kes baharu, kadar kebolehjangkitan dan kadar positif, dalam trend menaik?
“Jadi, apakah peluang bagi kes jatuh ke bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut supaya negara boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan dalam masa terdekat? Berapa kali mahu gagal,” soalnya.
Semalam, KKM melaporkan sebanyak 6,437 kes baharu Covid-19 dengan 107 kematian direkodkan. – FMT