Penduduk Mentari Court akan terima vaksin Ahad ini
PETALING JAYA: Penduduk Apartment Mentari Court, Sunway Mentari, kumpulan pertama pelaksanaan vaksin dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Selangor.
Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar, berkata penduduk di apartment terbabit akan menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula Ahad ini.
Kawasan berkenaan yang dikenakan PKPD bermula hari ini, didiami oleh warga tempatan dan warga asing yang bekerja di kawasan kilang berhampiran.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan ujian saringan ke atas 17,000 penduduk yang mendiami 3,469 unit di tujuh blok kediaman di kawasan berkenaan.
“Selain saringan COVID-19, lokasi ini akan menjadi kawasan perintis atau kawasan pertama untuk dilaksanakan pemberian vaksin di negeri Selangor dalam kawasan PKPD.
“Apa yang kita harapkan adalah penduduk yang berada dalam kawasan ini dapat memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh PKPD ini dilaksanakan,” katanya selepas melawat lokasi PKPD, hari ini.
Johary berkata, dalam pelaksanaan PKPD kali ini kerajaan Negeri Selangor akan turut membantu penyediaan dari segi bakul makanan kepada penduduk yang disumbangkan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). – BH ONLINE
oleh Safeek Affendy Razali