25 unit bas dilancarkan sebagai pusat pemberian vaksin bergerak

KLUANG, 10 JULAI : Sebanyak 25 unit bas akan digunakan sebagai Unit Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi memantapkan lagi pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Pelancaran Unit PPV Bergerak tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin dan Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Wira Halimah Mohamed Saddique di PPV Dataran Tasik Kluang, Johor petang tadi.

Zuraida menjelaskan, kesemua bas itu akan dijadikan tempat memberi suntikan vaksin kepada pelbagai golongan di seluruh negara.

“Pemberian ini akan difokuskan kepada mereka yang mempunyai kekangan untuk pergi ke PPV awam sedia ada.

“Selain peniaga kecil, kita akan sasarkan komuniti di kawasan berkepadatan tinggi, perumahan PPR dan kos rendah, luar bandar, ladang atau estet, rumah orang tua dan OKU di seluruh negara,” katanya pada sidang media.

Pembekalan vaksin itu, kata Zuraida, diberi kepada kelompok yang masih belum menerima atau terlepas tarikh temujanji vaksinasi di aplikasi MySejahtera.

“Kita ada agensi dan organisasi di peringkat akar umbi seperti PBT, JMB dan KRT yang menyusun dan memberi maklumat tentang perkara ini.

“Sukarelawan dari Penggerak Komuniti Negara kemudiannya bertindak sebagai ‘call center’ yang ditugaskan untuk hubungi mereka.

“Jika mereka ada masalah untuk hadir, kita akan sediakan pengangkutan.

“Tapi untuk kawasan jauh dari PPV, kita akan guna bas ini sebagai Unit PPV Bergerak,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Halimah menjelaskan, Program MOVAK merupakan gerak kerja besar-besaran oleh dua kementerian bagi membantu negara mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin.

“Dua kementerian ini mempunyai kumpulan sasar yang sama.

“Kementerian Perpaduan ada KRT dalam struktur. Kementerian Perumahan pula ada PBT. Kedua-duanya ada kaitan dengan akar umbi.

“Jadi melalui kerjasama sebegini, jangkauan kita akan lebih sistematik dan tepat kepada golongan sasar,” katanya.

Program MOVAK diwujudkan bagi membina ekosistem sokongan dalam membantu meningkatkan jumlah kehadiran penerima vaksin di PPV.

Inisiatif itu turut merangkumi golongan peniaga kecil yang meliputi penjaja pasar malam, pasar tani atau pagi dan lain-lain yang berdaftar di bawah PBT. – PPI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: