204 petugas PPV IDCC positif Covid-19

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Seramai 204 petugas pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam, Selangor disahkan positif Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes positif Covid-19 itu dikenal pasti selepas ujian saringan beramai-ramai dilakukan terhadap kesemua 453 petugas pada 10 Julai.

Menurut beliau, ujian saringan beramai-ramai dibuat sebaik sahaja terdapat dua sukarelawan positif Covid-19 pada 9 Julai lalu.

“Keputusan RT-PCR telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT Value) lebih daripada 35 di mana mereka mempunyai kesan virus (load virus) yang rendah.

“Berikutan angka kes jangkitan Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, adalah sukar untuk kita pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain.

“Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) menyarankan kepada mereka yang telah hadir bagi vaksinasi di IDCC pada 9 Julai dari jam 4 petang untuk memantau gejala selama 10 hari,” katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Khairy berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada jam 11 malam Isnin daripada makmal MGI, PPV IDCC ditutup serta-merta selama satu hari bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba.

“Mereka yang mempunyai janji temu hari ini (Selasa) telah dimaklumkan penutup PPV IDCC melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

“Kesemua mereka sudahpun mendapat tarikh janji temu baharu,” katanya sambil menambah petugas CITF telah diarahkan pergi ke IDCC bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan ini agar hadir pada tarikh baharu yang telah diberi.

Tambah Khairy, kesemua petugas PPV IDCC sebelum ini telah diasingkan dan ditukar dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi untuk jangkitan dapat dikurangkan.

“Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut diarahkan untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC,” katanya.

Menurut beliau, CITF telah meningkatkan usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya.

“Oleh itu, saya ingin menyeru orang ramai untuk hadir ke janji temu mereka di PPV IDCC seperti biasa selepas ini di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal sepanjang masa, datang mengikut masa yang diberikan dan tidak terlalu awal serta pastikan terus pulang selepas selesai urusan vaksinasi bagi meminimumkan masa pendedahan di kawasan umum,” katanya.

Ujarnya, kesemua PPV lain sekiranya mengalami masalah kesesakan perlu memaklumkan kepada CITF Pusat serta-merta agar bantuan dapat diberikan segera.

Sementara itu, ditanya mengenai kondisi petugas yang positif, Khairy berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

“Kesemua mereka tidak menunjukkan gejala yang teruk,” katanya.

Untuk rekod, seramai 400 daripada 453 petugas PPV IDCC telah divaksinasi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: