MOVAK bantu percepat vaksin – Zuraida

KERAJAAN Malaysia mengambil langkah-langkah segera menangani wabak Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha mempergiatkan mobilasi vaksinasi seluruh negara.

Seiring dengan keperluan program tersebut, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah bergandingan usahasama melalui pembentukan program Mobilasi Vaksin Komuniti atau MOVAK.

MOVAK merupakan inisiatif yang digerakkan bagi tujuan membantu program vaksinasi kebangsaan untuk mempercepatkan sasaran 80 peratus herd immunity atau imuniti kelompok menjelang Oktober tahun ini.

Saya bersama Menteri KPN, Datuk Halimah Mohamed Sadique telah menjadi pencetus program tersebut. Matlamat utama MOVAK adalah menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui usaha meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin, selain membantu mempercepatkan pembentukan imuniti kelompok.

Namun, lebih penting, ia akan membantu kelancaran program vaksinasi bagi mengurangkan beban tugas pasukan barisan hadapan melalui khidmat sukarelawan. Tambahan tenaga sukarelawan menjadi ‘tonik’ kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi kekangan jumlah kakitangan bertugas di lapangan.

MOVAK menjadi instrumen mobilisasi dengan menyediakan akses vaksinasi kepada masyarakat bandar, luar bandar, pinggiran bandar termasuk kampung-kampung tradisional, perkampungan orang asli, ladang dan estet.

Malah, MOVAK turut menyediakan akses vaksinasi kepada lebih 500,000 penjaja dan juga kepada komuniti di segenap peringkat di seluruh Semenanjung Malaysia.

Usaha besar-besaran ini akan melibatkan agensi-agensi dan unit-unit kemasyarakatan yang berada di bawah kedua-dua kementerian iaitu Penggerak Komuniti Negara (PKN), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Skim Rondaan Sukarela (SRS).

MOVAK digerakkan melalui empat unit yang dibentuk bagi melaksanakan dan menyelaras mobilisasi melibatkan tenaga sukarelawan daripada PKN iaitu Unit Panggilan yang menghubungi penerima vaksin dan akan mendapatkan input status keperluan kenderaan penerima vaksin dari kediaman mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Kedua, Unit Mobilisasi yang berperanan menjalankan tugas setelah menerima input daripada Unit Panggilan. Kenderaan mobilisasi turut dilengkap dan tugasan itu melibatkan Sukarelawan PKN.

Kenderaan yang berpusat di pusat khidmat atau mana-mana lokasi sesuai yang bertugas, akan berperanan mengambil dan menghantar penerima suntikan ke PPV.

Unit Jangkauan Komuniti dan Unit PPV Bergerak pula akan menjalankan kempen tentang kepentingan vaksinasi serta mendaftarkan penduduk bagi mendapatkan suntikan.

Unit Jangkauan dan Unit PPV Bergerak akan bergandingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui COB bagi mendapatkan senarai nama penduduk di kawasan berstrata.

Kedua-dua unit juga akan menjalankan kerjasama dengan KRT dan SRS bagi mendapatkan senarai nama serta melakukan tugasan jangkauan komuniti di kawasan-kawasan berstrata.

Majlis Pelancaran PPV Bergerak telah disempurnakan oleh Menteri KPKT dan Menteri KPN pada 10 Julai lalu di Dataran Tasik Kluang, Johor.

Program MOVAK yang dilancarkan pada 19 Jun lalu di Balik Pulau, Pulau Pinang akan dilaksanakan di 283 PPV seluruh Semenanjung Malaysia.

Di sebalik kewujudan MOVAK, ia turut memperkasa Dasar Komuniti Negara yang menjadi polisi utama KPKT.

Secara langsung, penglibatan unit komuniti yang ditubuh seperti PKN akan turut menjayakan gerakan vaksinasi kebangsaan melalui kerjasama dengan PBT.

Sudah pasti, objektif Dasar Komuniti Negara di bawah KPKT akan mengupayakan kelompok masyarakat lebih berjaya dengan adanya program MOVAK.

Unit Komuniti akan membantu mengenal pasti setiap orang dalam kelompok komuniti masing-masing sam aada sudah berdaftar sebagai penerima vaksin.

Pengumpulan maklumat semasa vaksinasi dalam kalangan komuniti akan melancarkan lagi kerja-kerja Unit Jangkauan di lokaliti.

Kebersamaan komuniti dapat diperkukuhkan lagi dengan rasa bertanggungjawab menjaga komuniti dalam aspek kesihatan awam.

MOVAK turut mengangkat peranan kesukarelawan secara lebih efektif dengan penglibatan NGO PKN.

Seiring matlamat Dasar Komuniti Negara mengimarahkan semangat sukarelawan, masyarakat setempat akan digerakkan bersama membantu usaha-usaha MOVAK menerusi PKN.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: