Ambil Iktibar, Jangan Ulangi Kesilapan Musim Perayaan Lalu – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru masyarakat agar mengambil iktibar daripada kesilapan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) khususnya ketika sambutan perayaan lalu sehingga mencetuskan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata kesilapan itu tidak seharusnya berulang semasa sambutan Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai ini.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang telah bersungguh-sungguh dalam mematuhi SOP yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah, beliau mengakui masih ada segelintir individu tidak mematuhi SOP ditetapkan.

“Bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejak bermulanya pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi pada 1 Jun lepas hingga semalam, sebanyak 267 kluster komuniti dilaporkan tercetus susulan sambutan perayaan lalu iaitu Aidilfitri dan Hari Gawai.

Beliau berkata kluster terbabit tercetus berikutan aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah berlainan ketika perayaan serta majlis pengebumian.

“Daripada 267 kluster komuniti ini, sejumlah 17,106 kes positif telah dilaporkan Kementerian Kesihatan. Kes-Kes tersebut dikesan daripada 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5 peratus) melalui Pengesanan Kes Aktif yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah secara berterusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata beberapa kluster komuniti yang dilaporkan itu turut melibatkan aktiviti rentas negeri.

Katanya negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun ialah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus) diikuti Terengganu (lima atau 23.8 peratus) serta Kelantan (tiga atau14.3 peratus). – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: