Arab Saudi benarkan perniagaan beroperasi ketika waktu solat
RIYADH: Arab Saudi secara rasmi membenarkan perniagaan kekal beroperasi ketika waktu solat lima waktu, yang menjadi langkah reformasi sensitif di negara yang cuba mengubah imejnya.
Sejak menjadi pemimpin Arab Saudi mulai 2017, Putera Mahkota Mohammed bin Salman memperkenalkan perubahan ekonomi dan sosial bagi mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap minyak, dan mengubah peranan agama.
“Premis dan aktiviti komersial dan ekonomi lain akan kekal dibuka sepanjang waktu bekerja, khususnya ketika waktu solat,” kata Persekutuan Dewan Saudi dalam satu kenyataan, semalam.
Secara rasminya, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha menentang pandemik COVID-19 dan bermatlamat mengelak ‘individu berhimpun dan beratur panjang di hadapan kedai yang ditutup ketika waktu solat’.
Bagaimanapun, ia dilaksanakan selepas satu perintah pada 2019 yang memaklumkan perniagaan boleh kekal beroperasi 24 jam untuk kadar bayaran tertentu.
Langkah itu, yang mencetus kekeliruan sama ada ia turut merangkumi waktu solat orang Islam, dilihat sebagai percubaan untuk melonggarkan peraturan berkenaan.
Sejak itu, beberapa restoran, pasar raya dan premis lain kekal beroperasi dalam tempoh berkenaan, khususnya di Riyadh.
Sebelum ini, selepas subuh, perniagaan diwajibkan menutup operasi sepanjang waktu solat empat waktu yang lain, iaitu sekitar dua jam.
Peraturan baharu itu membatalkan sekatan berkenaan, yang disifatkan anggota Majlis Shura negara itu sebagai menyebabkan kerugian puluhan bilion riyal setahun kepada ekonomi Arab Saudi. – AFP