SOP, kelonggaran kepada individu lengkap vaksin Covid-19 diumum tidak lama lagi

Putrajaya: Kelonggaran tertentu yang akan diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Pengumumannya tidak lama lagi,” katanya susulan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai pertimbangan memberikan kelonggaran tertentu kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin termasuk kebenaran makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri.

Muhyiddin dipetik berkata, beliau meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk membuat penilaian semula berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini, Dr Adham berkata, seramai 172 petugas kesihatan hamil dijangkiti Covid-19 dan kebanyakannya adalah daripada kategori satu dan dua.

Menurutnya, 51 individu daripadanya kategori 1,117 dalam kategori 2 dan bakinya adalah kategori 5.

Pesakit Covid-19 kategori 1 adalah tidak bergejala; kategori 2 (gejala ringan), kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru), kategori 4 (pesakit yang memerlukan oksigen) dan kategori 5 adalah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Adham berkata, dalam tempoh 4 hingga 10 Julai, sebanyak 870 kluster aktif dikesan di seluruh negara dan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) yang direkodkan adalah 1.13.

“Kluster-kluster yang mencatatkan peningkatan dalam minggu tersebut adalah kluster tempat kerja, pendidikan dan pusat tahanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 19.0 respons kendiri berhubung kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) diterima melalui aplikasi Mysejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin diberikan sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Antara kesan sampingan yang dilaporkan adalah kesakitan di tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, katanya.

Berdasarkan sistem pemantauan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara, hanya 0.06 pelaporan diterima bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan sebagai serius yang memerlukan rawatan lanjut dan kemasukan ke hospital. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: