Rangka lelaki hilang sebulan lalu ditemukan

Padang Terap: Rangka manusia yang ditemukan di Sungai Kuala Pai di sini, hari ini dipercayai adalah mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh di sungai itu pada 27 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, penduduk kampung itu menemukan rangka berkenaan pada 3.40 petang sebelum memaklumkannya kepada polis.

Menurutnya, rangka berkenaan dipercayai adalah mangsa hilang iaitu Mohd Syaril Hamid, 30, dan ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasinya dilaporkan terjatuh.

“Sebaik menerima panggilan dari orang awam, kita menghubungi pasukan bomba untuk mengangkat rangka terbabit ke darat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat hari ini mengalami kesukaran untuk mengangkatnya disebabkan kelajuan air sungai namun rangka terbabit berjaya dibawa naik pada 5 petang,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Sabaruddin Chat ketika dihubungi berkata, ada penduduk di situ ternampak rangka manusia itu di sungai berkenaan ketika melalui kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk kampung berkenaan sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mencari mangsa selepas operasi mencari mangsa ditangguhkan pada 1 Julai lalu.

“Alhamdulillah…dah jumpa dan rangka berkenaan sudah dibawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang terbabit dalam operasi membantu polis mengangkat rangka berkenaan hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.22 petang dan tiba di lokasi 4.48 petang.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat rangka manusia dan anggota kami yang berpakaian lengkap PPE membantu membawa naik rangka berkenaan.

“Operasi tamat pada 6.27 petang selepas rangka berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 27 Jun lalu dilaporkan seorang lelaki dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Kuala Pai pada 10 pagi.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan selama lima hari membabitkan pelbagai agensi termasuk anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap.

Operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra serta Pasukan Polis Marin (PPM) dari Batu Uban, Pulau Pinang. – HARIAN METRO

oleh Zuliaty Zulkiffli

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: