KKM laksana pendekatan agresif kawal gelombang ketiga

KUALA LUMPUR: Malaysia yang berdepan gelombang ketiga COVID-19 terutama dengan kemunculan varian membimbangkan, memaksa Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai tindakan agresif bagi mengawal serta membendung penularan pandemik itu.

Peningkatan jangkitan dalam gelombang ketiga itu dikesan melalui kes sporadik dan tiada kaitan dengan kes kluster yang menyaksikan negara merekodkan sebanyak 1,017,787 kes positif COVID-19 dengan 8,071 kes kematian setakat semalam.

Dalam sesi penerangan selama 55 minit mengenai Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata antara langkah yang diambil bagi merawat pesakit COVID-19 adalah mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Setakat semalam, penggunaan 132 PKRC di seluruh negara mencapai tahap 61 peratus dengan sebanyak 29,835 katil disediakan.

“Bagi semua 221 hospital COVID-19 pula, jumlah katil bukan unit rawatan rapi (ICU) adalah 15,090 di fasiliti kesihatan awam dan 1,288 fasiliti swasta, manakala bagi katil ICU membabitkan 1,405 di hospital awam dan 128 di hospital swasta.

“Peralatan perubatan seperti ventilator, ‘patient monitor’ dan sebagainya turut dipertingkatkan bagi memperkukuhkan keupayaan dan sebagai kesiapsiagaan menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Dari segi keupayaan ujian saringan pengesanan, Dr Adham berkata, sebanyak 122,603 ujian berupaya dilakukan dalam sehari membabitkan 51 makmal kerajaan, 43 makmal swasta yang mempunyai kebolehan menjalankan ujian RT-PCR SARS-CoV-2 di seluruh negara.

“Kita kini berupaya melakukan 122,603 ujian sehari berbanding kapasiti ujian RT-PCR pada bulan Mac 2020 yang hanya 6,210 ujian sehari iaitu peningkatan sebanyak 1,874 peratus.

“Berdasarkan peningkatan keupayaan ini, kapasiti ujian di setiap negeri ditingkatkan. Sebagai contoh, di Selangor, bilangan ujian RT-PCR yang dijalankan pada tahun lalu adalah sebanyak 840,165 dan jumlah ini meningkat kepada 2.43 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Dr Adham berkata, peruntukan RM7.13 bilion yang diterima KKM setakat ini, digunakan untuk saringan dan rawatan pesakit COVID-19 membabitkan sebanyak RM2.35 bilion, manakala RM4.78 bilion bagi tujuan perolehan vaksin COVID-19 serta ‘consumables’ dan peralatan penyimpanan vaksin.

Selain itu, beliau berkata, KKM turut memohon peruntukan RM1.14 bilion perolehan tambahan bagi peralatan kesihatan seperti ‘reagen’, ‘consumables’, peralatan perlindung diri (PPE) dan sebagainya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, sebanyak 278,023 perjawatan tetap diluluskan kepada KKM oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setakat 31 April lalu.

Beliau berkata, selain itu lebih 40,000 pelantikan secara kontrak turut diluluskan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM4.3 bilion.

“Bagi aspek pengurusan sumber manusia pula, KKM ingin merakamkan penghargaan kepada pihak yang terbabit meluluskan perjawatan dan pelantikan sumber manusia di KKM.

“Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan emolumen kepada pegawai di KKM yang kini berjumlah lebih RM18 bilion (63 peratus daripada peruntukan belanja mengurus KKM),” katanya. – BH ONLINE

oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: