Cabaran Khairul Anuar berakhir

Tokyo: Perjuangan jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir, apabila tumpas kepada pemanah Korea Selatan Kim Woo Jin pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki, hari ini.

Walaupun menampilkan aksi membanggakan, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu masih gagal menyaingi kehebatan bekas juara dunia itu, apabila tumpas 0-6 di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Woo Jin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal, apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set, berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Pencapaian itu menyaksikan pemanah Korea Selatan itu melebarkan rekod pertemuan dengan Khairul Anuar yang menghuni ranking ke-15 dunia, dengan lima kemenangan tanpa sebarang kejayaan memihak kepada pemanah negara itu.

Ketika ditemui pemberita selepas pusingan ketiga atau 16 terbaik itu, Khairul Anuar mengakui kehebatan pemanah dari Korea Selatan itu, walaupun dia sudah menampilkan aksi sebaik mungkin.

“Hari ini, Alhamdulillah, saya lebih bersedia berbanding aksi sebelum ini apabila fokus saya ketika melakukan panahan sedikit terganggu.

“Saya lebih fokus ketika melakukan panahan, tetapi dia (Woo Jin) jauh lebih baik walaupun saya sudah memberikan yang terbaik hari ini,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Dia berkata, tumpuannya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan besar pada tahun hadapan, antaranya Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Asia Hangzhou, China dan Sukan SEA Vietnam, selain Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, saya lebih memberi fokus kepada acara Recurve Berpasukan, penyertaan dalam acara individu ini sebagai bonus kepada saya.

“Sudah pasti selepas ini saya akan berusaha melayakkan diri untuk bertanding pada Sukan Olimpik Paris 2024. Saya perlu perbaiki lagi dari segi ‘shooting’ (melakukan panahan) pada kejohanan-kejohanan akan datang, supaya sudah benar-benar bersedia pada temasya Olimpik 2024,” katanya.

Ditanya mengenai jurang antara pemanah Malaysia dan Korea Selatan, Khairul Anuar menjelaskan pemanah negara bermula agak lewat dalam asas sukan memanah, berbanding pemain negara itu yang ditanamkan mengenai perkara itu sejak di usia awal.

“Saya mula mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dan ketika mula memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011, baru saya diberikan penerangan lebih mendalam tentang asas-asas sukan memanah.

“Itu yang membezakan majoriti pemanah Malaysia berbanding pemanah Korea Selatan, yang sering menguasai kejohanan di peringkat dunia. Namun, walaupun kita agak lewat diperkenalkan dengan asas memanah, tidak mustahil kita boleh menyaingi mereka satu hari nanti,” kata pemanah berusia 29 tahun itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: