OLIMPIK: Azmin beri semangat tambahan kepada Jijoe
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendapat suntikan menjelang kayuhan di Tokyo 2020 apabila mendapat kata-kata semangat daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Azmin malam kelmarin, menteri itu menjelaskan harapan tinggi diletakkan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pasukan berbasikal negara meraih kejayaan di Tokyo.
“Saya yakin dengan latihan yang sudah dijalani dan juga rakan-rakan di sana, Insya-Allah kita sekali lagi dapat mencatat kejayaan yang cemerlang.
“Selamat maju jaya kepada Datuk (Azizulhasni), saudara Shah, rakan-rakan dan semua atlet Malaysia dalam Olimpik kali ini,” kata Azmin.
Sementara itu, Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ menerusi video perbualannya secara maya itu mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia untuknya dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih kejayaan dengan mereka akan memulakan aksi dalam acara pecut, esok.
“Insya-Allah saya dan rakan sepasukan dekat sini (Tokyo) akan buat yang terbaik, lebih daripada yang terbaik yang kita boleh lakukan. Segala persiapan sudah kita lakukan dengan terbaik, semuanya berjalan dengan lancar.
“Hanya tinggal waktu untuk kita letakkan semuanya pada hari perlumbaan nanti. Harap dengan doa seluruh rakyat Malaysia, semua dapat berjalan dengan lancar dan kita dapat merealisasikan impian pingat emas itu, Insya-Allah.
“Terima kasih atas ucapan dan doa, jadi saya harap semua rakyat Malaysia serta Datuk Seri (Azmin) terus mendoakan kejayaan saya dan Shah Firdaus, dan diharap kita dapat membawa pulang kejayaan nanti,” katanya.
Azizulhasni dilihat menjadi tumpuan pada temasya kali ini dengan sukan berbasikal trek diangkat sebagai prospek utama untuk meraih pingat emas sulung negara di temasya Olimpik.
Untuk rekod, Azizulhasni, 33, pernah menghadiahkan pingat gangsa di temasya Rio 2016 dalam acara keirin. – BH ONLINE
oleh Zulfaizan Mansor