1 PPR, 1 Kebun Komuniti bantu penduduk raih pendapatan sendiri

KUALA LUMPUR, 4 OGOS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensasarkan setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) memiliki satu kebun komuniti dengan tujuan memperkasa komuniti bandar selain meningkatkan ekonomi setempat.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagi mencapai objektif itu, Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) diperkenalkan serta menggariskan lima teras dan 17 strategi sebagai panduan pelaksanaan dasar tersebut.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 14 PPR mempunyai Kebun Komuniti dan berjaya menghasilkan tuaian sayur-sayuran yang terdiri daripada tanaman terung, kangkung, bayam, cili, kubis, kailan dan sawi.

“Melalui DKKB yang dilancarkan hari ini, kerajaan komited memastikan kelangsungan program-program kebun komuniti yang telah diusahakan oleh komuniti PPR menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK).

“KPKT juga telah meneruskan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk menaikkan semangat komuniti bandar yang terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19.

“Sasaran DKKB ialah 1 PPR, 1 kebun komuniti,” katanya dalam majlis pelancaran yang diadakan secara maya, semalam.

Zuraida berkata, DKKB dibangunkan bagi memacu amalan perkebunan berhemah dalam bandar, bagi memastikan rakyat dapat meraih peluang dalam menghasilkan sumber makanan yang segar dan berkualiti.

“Ia boleh digunakan untuk keperluan sendiri dan juga menjana pendapatan bagi menampung sara hidup seharian,” katanya.

Beliau menjelaskan, DKKB membantu dalam memastikan pengurusan landskap bandar yang efektif melibatkan tanggungjawab bersama antara Pihak Berkuasa Tempatan dan masyarakat dengan menekankan kepentingan mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan kejiranan atau kawasan lapang yang dibenarkan.

Berdasarkan statistik, katanya, tiga Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) mencatatkan hasil tuaian tertinggi untuk tempoh Januari hingga 31 Mei lalu.

“PSMK itu ialah PPRS Pinggiran Putra, Kuantan yang mencatat 311 kilogram (kg) hasil tuaian diikuti PPR Hiliran, Kuala Terengganu dengan 242.9 kg hasil dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh dengan 64.78 kg,” katanya. – PPI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: