Covid-19 ‘rentap’ kasih bapa

Seremban: “Tidak pernah terfikir kami akan kehilangan ahli keluarga kerana wabak Covid-19. Malah kami tidak berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir,” kata Nur Hanizah Yahya Arif, 36.

Menurutnya, dia kehilangan bapa, Yahya Arif Ariffin, 68, akibat jangkitan Covid-19 selepas bertarung nyawa selama 15 hari di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah adalah pada pagi 21 Jun lalu sebelum bapa dibawa ke HTJ untuk menerima rawatan berkaitan masalah paru-paru dan buah pinggang.

“Ketika menerima rawatan di HTJ, arwah bapa disahkan positif Covid-19 dua hari kemudiannya.

“Saya, ibu (Juriah Bador, 64) dan anak saudara yang tinggal serumah kemudian membuat ‘swab test’ kali pertama dan mendapat keputusan negatif Covid-19.

“Bagaimanapun ‘swab test’ kali kedua pada 1 Julai menunjukkan saya dan anak saudara didapati positif Covid-19 manakala ibu pula negatif wabak itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kelab Tuanku Mambau, di sini, tadi.

Terdahulu, keluarga itu menerima bantuan barangan dan wang tunai daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction yang disampaikan wakilnya, Khairul Nizam Khairuddin.

Nur Hanizah berkata, dia tidak berpeluang melihat arwah bapanya kerana mematuhi arahan kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Politeknik Port Dickson di sini, bersama anak saudaranya itu.

Menurut kakitangan swasta itu, dia berada di PKRC berkenaan selama seminggu, manakala ibunya kekal berada di rumah dan dipakai gelang pink sebagai kontak rapat.

“Saya tidak pasti dari mana jangkitan wabak itu berpunca. Simptom awal yang saya alami adalah batuk berpanjangan dan kerap sesak nafas.

“Walaupun sangat pahit atas kehilangan bapa, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap perkongsian saya ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Juriah berkata, dia sedih dengan pemergian suami yang juga bekas pesara Telekom Malaysia kerana berlaku dalam tempoh singkat.

Ujar warga emas itu, dia juga tidak berpeluang menatap wajah arwah buat kali terakhir kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya dan keluarga yang lain hanya dapat melihat dari dalam kereta ketika arwah dikebumikan, perasaan ketika itu hanya Allah SWT yang tahu betapa sedihnya dengan situasi yang terpaksa kami hadapi,” kata ibu kepada empat orang anak itu. – HARIAN METRO

oleh Mohd Amin Jalil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: