Paras oksigen rendah punca kematian di rumah

KUALA LUMPUR: Kes kematian COVID-19 di rumah boleh berlaku apabila paras oksigen pesakit berkurangan disebabkan virus itu menyerang paru-paru walaupun pesakit tiada gejala awal.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata keadaan itu umpama ‘pembunuh senyap’ kerana kebiasaannya pesakit COVID-19 tidak akan menyedari oksigen berkurangan sehinggalah keadaan menjadi teruk dan hanya mendapatkan rawatan di hospital ketika sudah kritikal.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah amat penting untuk pesakit COVID-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah supaya sentiasa peka dengan diri, selain digalakkan untuk membeli alat mengukur tahap oksigen atau oximeter bagi memastikan tahap oksigen mereka mencukupi.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga digesa supaya memberi kesedaran kepada pesakit COVID-19 khususnya mereka yang tinggal bersendirian untuk memantau keadaan diri seperti melakukan kaedah senaman tertentu.

“Ia boleh menentukan sama ada tahap oksigen seseorang pesakit wabak itu berada pada paras normal atau tidak.

“Ia tidak berlaku kepada semua pesakit COVID-19 kategori satu dan dua, namun boleh terjadi kepada golongan itu khususnya mereka yang ada masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis…meninggal secara tiba-tiba disebabkan paras oksigen rendah,” katanya kepada BH, di sini.

Prof Zamberi berkata, paras normal oksigen dalam darah ialah 95 peratus hingga 98 peratus dan boleh dikategorikan sebagai kurang oksigen jika ia turun kepada 90 peratus, namun pengurangan itu sukar dikesan kerana badan mudah mengadaptasi dengan keadaan berkenaan.

Beliau berkata, kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) mungkin juga disumbangkan oleh varian Delta, namun ia hanya boleh disahkan melalui ujian penjujukan yang perlu dilaksanakan KKM.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan bantuan kecemasan dan tidak memberi bantuan pernafasan jika ada pesakit COVID-19 pengsan.

“Tindakan seperti memberikan bantuan pernafasan menyebabkan mereka berisiko dijangkiti wabak itu,” katanya..

Sementara itu, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh, berkata kematian pesakit COVID-19 kategori satu dan dua masih boleh berlaku jika mereka ada masalah kesihatan lain seperti serangan jantung atau darah beku.

Ditambah pula, katanya, dengan penularan varian membimbangkan (VOC) seperti Delta, ketika ini. – BH ONLINE

oleh Suzalina Halid

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: