Hentikan semua ini, akur dengan titah Agong, Nazri beritahu Zahid

PETALING JAYA: Nazri Aziz mempersoal sama ada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini menentang Yang di-Pertuan Agong apabila terus berkeras menegaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti di Parlimen.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Muhyiddin jelas telah menyatakan bahawa beliau telah meminta Agong memperkenan supaya majoriti ditentukan menerusi undi percaya di Dewan Rakyat pada September.

“Itu jelas, dan bererti Agong telah mengarahkan perkara itu dibawa ke Parlimen.

“Jadi adakah Zahid cuba menentang Agong dengan tidak mematuhi keputusan itu?” soalnya.

Katanya, Agong sudah menitahkan dan “Zahid perlu menghentikannya”.

Terdahulu hari ini, Zahid menegaskan Muhyiddin silap apabila mendakwa masih memiliki majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan, Zahid berkata Umno hari ini menghantar akuan berkanun (SD) tambahan senarai Ahli Parlimen parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak menyatakan angka yang terlibat.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan SD Ahli-ahli Parlimen Umno kepada Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri seperti dinyatakan Muhyiddin melalui perutusannya petang tadi.

Bercakap kepada FMT, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii menyokong tindakan Zahid sambil menyatakan adalah jelas bahawa Muhyiddin sudah hilang majoriti.

Sambil menyatakan bahawa angka itu akan menjelaskan sendiri keadaan , beliau berkata 107 Ahli Parlimen mendesak Muhyidin untuk berundur pada perarakan protes di dataran Merdeka Isnin lalu.

Razlan berkata walaupun tanpa mengira jumlah SD tambahan yang dihantar oleh Zahid kepada Agong, Muhyiddin sudah pun kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

“Ini kerana 107 Ahli Parlimen pembangkang dan lapan SD sebelumnya daripada Ahli Parlimen Umno menjadikan jumlah keseluruhan 115 Ahli Parlimen yang mahu Muhyiddin mengundurkan diri.

“Dengan tambahan SD, Muhyiddin semakin lemah,” tambahnya.

Pada masa ini terdapat 220 Ahli Parlimen, tidak termasuk dua kerusi yang kosong iaitu Gerik dan Batu Sapi.

Razlan meminta Muhyiddin melakukan apa yang dilakukan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada Februari 2020.

“Perdana Menteri telah kehilangan majoriti dan sebagai negarawan, Mahathir mengundurkan diri.

“Selepas itu, Mahathir mahu menjadi PM sekali lagi tetapi gagal mendapat sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, kenyataan terbaru Zahid menunjukkan “adalah jelas bahawa majoriti yang didakwa Muhyiddin pagi ini sudah semakin berkurangan sekarang.”

Beliau meminta Muhyiddin bersikap telus dengan angka yang dituntut.

“Parlimen mesti bersidang secepat mungkin agar kita dapat mengakhiri ketidaktentuan politik ini,” tambahnya. -FMT

oleh Minderjeet Kaur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: