Rencana | Fokus perkasa kitar semula negara, SWCorp angkat agenda global
Nama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini semakin meniti di bibir dan dekat di hati rakyat di negara ini dengan pendekatan baru yang diketengahkan.
Ia terutamanya selepas perbadanan yang mengangkat Dasar Kebersihan Negara yang diperkenalkan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan di bawah kelolaan YB Datuk Zuraida Kamaruddin itu menggerakkan kira-kita 600 set sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir di Negeri Johor awal tahun ini.
Baru-baru ini pula, golongan penggiat seni dari beberapa negeri pula mendapat perhatian. Dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, SWCorp menggerakkan Sumbangan Prihatin bagi membantu meringankan beban golongan yang turut terkesan akibat penularan Covid-19.
Rata-rata keluarga yang terjejas bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan perbadanan berkenaan ketika mereka diuji dan sangat-sangat memerlukan.
Cadangan yang diketengahkan pengerusinya, Dr. Daroyah Alwi agar SWCorp menjalinkan kerjasama erat bersama badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara juga memperlihatkan kesan yang sangat positif.
Dengan kapasiti yang ada pada NGO berkenaan, mana-mana bantuan juga sumbangan dapat disampaikan terus ke pintu kediaman keluarga penerima.
Pendekatan merakyatkan SWCorp yang dibawa ini bakal memberi ruang yang sangat baik kepada mereka untuk menarik minat ramai bagi bersama-sama dalam setiap aktiviti juga kempen yang diketengahkan seperti Trash To Cash, Waste To Art, 3R, Upcycling, Elak Pembaziran Makanan, #JanganGunalah dan banyak lagi.
Semoga misi perbadanan ini untuk menerajui kebersihan Malaysia melalui pelaksanaan dasar, penguatkuasaan, kesedaran awam dan penggunaan teknologi yang mampan mampu direalisasikan selain mementingkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam berjaya dilaksanakan dengan jayanya. – PPI
oleh HAM