Taikun pasar raya bidas gesaan ahli politik mahu kilang ditutup

Hartawan pasar raya borong, Ameer Ali Mydin membidas gesaan segelintir ahli politik yang mahu kilang-kilang ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, menyifatkan cadangan tersebut sebagai pandangan populis yang tidak akan membantu menyelesaikan kemerosotan ekonomi negara.

Ameer, yang memiliki rangkaian pasar raya Mydin, memberitahu MalaysiaNow keputusan untuk membuka atau menutup sektor ekonomi tidak boleh berdasarkan pada jumlah jangkitan sahaja.

“Ahli politik melihat angka-angka ini untuk buat keputusan populis, tetapi saya fikir mereka umpama menyalak di bukit yang salah,” katanya.

“Bagi saya, ini hanyalah langkah politik untuk buruk-burukkan ahli politik lain.”

Bekas perdana menteri Najib Razak, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah antara mereka yang menggesa kerajaan menutup sektor perkilangan.

Gesaan itu timbul susulan sidang media Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman pada Jumaat yang menjelaskan beberapa dakwaan bahawa sektor pembuatan adalah penyumbang terbesar kluster Covid-19 di Selangor bagi bulan Julai.

Sektor pembuatan atau perkilangan mencatat 96 kluster, diikuti sektor perkhidmatan (22 kluster) dan tapak bina (18 kluster).

Bagaimanapun, Sha’ari berkata jangkitan berlaku di asrama pekerja dan tempat tinggal selain turut menambah pemeriksaan mendapati tahap pematuhan SOP di kilang “sangat baik”.

“Kenapa berlaku transmisi? Mungkin di luar kilang. Ini saya rasa yang berlaku.

“Sebab pematuhan di kilang amat bagus. Majoriti mematuhi di kilang.

“Saya minta pekerja-pekerja sektor industri mematuhi SOP walau di mana mereka berada, di kilang atau di luar kilang,” kata Sha’ari.

Sehari sebelumnya, Putrajaya mengumumkan ia akan berhenti menggunakan jumlah kes baru sebagai indikator peralihan negeri ke fasa-fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebaliknya, jumlah kes baru dengan gejala serius akan digunakan.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Aziz berkata jumlah kes baru menjadi kurang relevan memandangkan kadar vaksinasi di negara ini selain kebanyakan kes adalah asimptomatik atau bergejala ringan.

Ameer berkata keputusan kerajaan untuk gunakan indikator dalam peralihan fasa PPN seperti jumlah katil di ICU dan kadar vaksinasi adalah langkah yang tepat.

Beliau juga meminta agar “sains dan data” dijadikan dasar keputusan untuk membuka atau menutup sektor ekonomi.

“Selagi kilang ikut SOP dan kakitangan diberi vaksin sepenuhnya, mereka mesti dibuka. Mereka yang tidak patuh harus ditangani dengan tindakan tegas,” katanya.

Mengenai langkah kerajaan untuk membenarkan aktiviti makan di premis restoran bagi penerima vaksin lengkap di negeri-negeri Fasa Dua PPN, Ameer berkata dasar yang sama juga harus diperluas ke sektor peruncitan lain juga.

“Mereka harus dibenarkan beroperasi untuk terima pelanggan dengan syarat mereka dan kakitangan terima kedua-dua dos vaksin,” katanya. – MALAYSIA NOW

 Oleh Ahmad Mustakim Zulkifli

kredit foto: AWANI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: