Berita | Lonjakan kes COVID-19 jejas eksport sawit negara

KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia terutama ke China, India dan Pakistan mencatatkan kemerosotan berikutan pengurangan permintaan susulan peningkatan semula jangkitan COVID-19 serta pengeluaran yang rendah, demikian menurut penganalisis.

Eksport minyak sawit negara bulan lalu susut 0.8 peratus kepada 1.41 juta tan berbanding 1.42 juta tan bulan sebelumnya dengan eksport ke China, India dan Pakistan masing-masing merosot sebanyak 23.1 peratus, 19.8 peratus dan 22.2 peratus kepada 163,879 tan, 225,041 tan dan 51,604 tan.

Affin Hwang Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, kemerosotan eksport ke India adalah mengejutkan memandangkan pengurangan duti import oleh negara itu terhadap produk minyak sawit.

Namun, katanya, terdapat potensi peningkatan permintaan di India berikutan masih ada baki tempoh dua bulan lagi bagi cukai import India yang rendah terhadap minyak sawit mentah (MSM) dan produk minyak sawit bertapis.

“Kami percaya harga yang tinggi, kurangnya acara atau majlis dan gangguan dalam perniagaan HORECA (hotel/restoran/katering) berikutan pandemik COVID-19 menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit.

“Kami juga percaya bahawa Indonesia mungkin meningkat dari segi penguasaan pasaran berikutan pengeluaran Malaysia yang rendah, manakala pengeluaran negara itu meningkat,” katanya.

Affin Hwang Investment Bank menjangkakan pengeluaran MSM akan kukuh pada separuh kedua 2021 berbanding separuh pertama 2021 dan berpotensi mencapai paras puncak pada September hingga Oktober 2021.

Sementara itu, MIDF Research pula berkata, peningkatan kes jangkitan COVID-19 di sesetengah negara Asia mempengaruhi penggunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan, sekali gus memperlahankan kadar pemulihan permintaan pada separuh kedua 2021.

Bagaimanapun, menuju ke depan, ia percaya pelaksanaan vaksinasi secara besar-besaran akan membantu melonjakkan permintaan tinggi terhadap makanan.

“Kami menjangkakan pertumbuhan sederhana bagi permintaan eksport dengan dua negara pengguna terbesar, China dan India tidak teruk terjejas oleh peningkatan semula kes jangkitan COVID-19.

“Selain itu, inventori minyak sawit rendah di kedua-dua negara itu juga akan menggalakkan aktiviti menambah semula stok,” katanya.

MIDF Research berkata, pengeluaran rendah adalah berikutan kekurangan tenaga kerja dan peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ia berkata, kekurangan buruh menyebabkan penangguhan aktiviti menuai yang memberi kesan kepada kualiti buah tandan segar manakala dari segi geografi pula, output lebih rendah terutama dari Terengganu (-31.2 peratus), Kelantan (-16.1 peratus), Johor (-13.5 peratus) dan Sabah (-13.3 peratus).

Melangkah ke depan, MIDF Research menjangkakan pengeluaran meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring tempoh pengeluaran puncak, lazimnya dari Julai hingga Oktober.

“Walaupun begitu, melihat kepada kadar vaksinasi yang pantas, kami percaya bahawa kerajaan akan dapat membuka sempadan pada 2022.

“Hasilnya, peserta sawit tempatan boleh membawa masuk pekerja asing yang diharapkan dapat membantu masalah kekurangan tenaga kerja,” katanya.

MIDF Research turut menjangkakan pengeluaran akan meningkat dengan ketara berikutan pekebun kecil lebih agresif menggunakan baja semasa tempoh harga MSM tinggi dan keadaan ekonomi semasa yang lebih baik.

Ia berkata, situasi kekangan bekalan akan menyokong harga komoditi itu, yang mana purata harga semasa MSM pada Julai meningkat sebanyak 9.9 peratus kepada RM4,207.95 satu tan berbanding RM3,828.84 satu tan pada bulan sebelumnya. – BH ONLINE

oleh Mahanum Abdul Aziz

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: