Berita | Vaksinasi ‘walk-in’ untuk pekerja sektor ekonomi, kata MTUC
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan supaya semua pekerja dalam sektor ekonomi dibenarkan untuk mendapatkan vaksin secara “walk-in” di seluruh negara.
Timbalan Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, keutamaan itu perlu disegerakan memandangkan mereka menjadi penggerak kepada sektor ekonomi negara dan berisiko tinggi untuk dijangkiti apabila berada di tempat kerja.
“Kita sangat mengalukan jika kerajaan beri keutamaan supaya pekerja sektor ekonomi ini di vaksin secepat mungkin. Bila semua sudah divaksin pekerja-pekerja ini kurang berisiko,” katanya kepada FMT.
Katanya, kerajaan juga perlu memperbanyakkan pusat pemberian vaksin (PPV) “walk-in”, bukannya tertumpu di pusat tertentu sahaja bagi mempercepatkan lagi proses suntikan.
“Kerajaan juga dicadangkan supaya membuka lebih banyak pusat vaksin termasuk di klinik kesihatan dan swasta terdekat untuk di ‘walk-in’.
“Pekerja tidak perlu ke PPV dan berkumpul ramai bagi mengelak kesesakan dan jangkitan, itu lebih baik jika ada pusat pemberian vaksin dekat dengan tempat tinggal mereka,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan mereka yang tinggal di Lembah Klang dan kumpulan warga emas untuk menerima vaksin secara “walk in”. -FMT=
oleh Faiz Zainudin
kredit foto: Reuters