Berita | AS, UK hantar tentera bawa rakyat keluar Afghanistan

KABUL: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar pasukan tentera untuk membawa rakyatnya keluar dari Afghanistan dengan segera, tatkala Taliban mendakwa telah menawan bandar Kandahar.

Pengumuman AS itu dibuat beberapa jam sebelum jurucakap Taliban dalam kenyataan menerusi Twitter mendakwa mereka berjaya menawan Kandahar selepas tercetus pertempuran sengit selama beberapa hari di bandar ‘kelahiran’ gerakan berkenaan.

“Kandahar sudah ditawan sepenuhnya,” ciap seorang jurucakap Taliban dalam satu akaun diperakui sebagai rasmi, hari ini.

Dakwaan berkenaan turut diakui seorang penduduk yang memberitahu AFP bahawa pasukan askar kerajaan dilihat berundur secara besar-besaran ke sebuah kemudahan tentera di luar bandar selatan itu.

Pihak kerajaan dilaporkan kini hilang penguasaan ke atas sebahagian besar wilayah di negara ini, susulan serangan selama lapan hari oleh Taliban.

Washington serta London mengambil tindakan segera dengan memindahkan kakitangan kedutaan dan warga mereka yang lain untuk keluar dari ibu kota Afghanistan.

“Kami mengurangkan lagi keberadaan warga kami di Kabul susulan keadaan keselamatan kini,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, kepada pemberita.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa kedutaan negara itu akan terus dibuka.

“Ini bukan pengabaian. Ini bukan evakuasi. Ini bukan tindakan keluar secara menyeluruh,” katanya.

Menurut Pentagon, seramai 3,000 tentera AS dijadualkan dihantar ke Kabul dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang, sambil memaklumkan bahawa ia bukan untuk melancarkan serangan terhadap Taliban.

Price berkata, AS juga akan mula menghantar penerbangan harian untuk mengevakuasi jurubahasa Afghanistan dan pihak lain yang telah membantu rakyat AS serta bimbang akan ancaman terhadap nyawa mereka susulan serangan Taliban.

Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), Ben Wallace, pula berkata London akan menghantar 600 tentera untuk mengevakuasi warganegaranya, selain ‘menyokong pemindahan bekas kakitangan Afghanistan yang pernah menggadaikan nyawa berkhidmat bersama mereka.’ – AFP

kredit foto: AP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: